PKPD tambahan di empat negeri susulan peningkatan kes Covid-19

Kawat duri dipasang sekitar PPR Kampung Limau, Kuala Lumpur. – Gambar Agenda Daily, 25 Mei, 2021.

Beberapa kawasan di Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) berkuat kuasa 28 Mei hingga 10 Jun ini, susulan peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD di Kuala Lumpur akan membabitkan semua blok Pangsapuri Permai dan blok C dan D di Pangsapuri Sri Penara di Cheras, susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di dua kawasan itu.

“Sebanyak 78 kes positif telah dikesan hasil daripada 101 ujian saringan dilakukan di Pangsapuri Permai. Di Pangsapuri Sri Penara pula, terdapat 111 kes positif Covid-19 selepas 123 penghuni disaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya PKPD di Perak pula membabitkan Mukim Parit Buntar di Kerian yang merekodkan 82 kes positif Covid-19 setakat ini dengan kadar positiviti 13.1 peratus.

Sementara itu di Pahang, beliau berkata, dua lokaliti di Raub membabitkan Taman Dato’ Tengku Paris dan Felda Tersang 1, 2 dan 3 dalam Mukim Batu Talam serta dua mukim di Temerloh iaitu Mukim Perak dan Mukim Bangau, dikenakan PKPD.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Sabah membabitkan empat kampung di daerah Kunak (Kampung Kabog, Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat dan Kampung Kunak 3), tiga lokaliti di Tawau (Kampung Sungai Pukul di Pulau Sebatik, Taman Desa Ranggu dan Taman Sawit Balung) serta sebuah kampung di Kota Belud iaitu Kampung Pirasan Ulu.

Katanya, PKPD di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Besut di Terengganu yang dijadual tamat esok dilanjutkan sehingga 4 Jun berikutan masih berlaku penularan kes dalam kalangan penduduk dan kes baharu direkodkan dengan 42 individu disahkan positif Covid-19.

Selain itu beliau berkata, kluster rentas negeri terus merekodkan peningkatan sepanjang April hingga Mei.

Ismail Sabri berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 19 kluster dicatatkan daripada keseluruhan 50 kluster akibat rentas negeri sejak awal tahun ini, membabitkan 6,291 kes.

“Dari segi bilangan kluster, setakat 20 Mei lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 1,966 keseluruhan kluster sejak pandemik ini melanda negara kita.

“Daripada jumlah itu, terdapat 528 kluster aktif manakala 1,438 lagi kluster diisytiharkan tamat,” katanya.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
5,793 kes baharu hari iniJune 12, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021