PKPD lima taman perumahan, kampung di Pekan esok

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di lima kawasan taman perumahan dan perkampungan di daerah Pekan, Pahang bermula esok hingga 22 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan berkenaan berkait dengan Kluster Teknologi Peramu Jaya membabitkan pekerja kilang yang tinggal di Taman Mentiga Jaya; Taman Perdana; Perkampungan Peramu Jaya 3; Taman Sepekan Makmur; dan Kampung Pulau Serai.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu dilaksanakan selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesahkan berlaku penularan jangkitan COVID-19 di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 495 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 67 kes positif COVID-19 telah direkodkan daripada kluster ini,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti berkenaan dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar.

BERITA BERKAIT
POPULAR