PKPD Felda Redong 1 di Labis babitkan 3,468 penduduk

Garisan polis melarang orang ramai memasuki kawasan PKPD. - Gambar Agenda Daily

Seramai 3,468 penduduk di Felda Redong 1 Mukim Labis dekat Segamat terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa selama dua minggu bermula tengah malam semalam.

Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali berkata, secara keseluruhan terdapat 825 keluarga serta tiga asrama pekerja asing yang membabitkan 35 individu dalam kawasan PKPD itu.

Beliau berkata setakat jam 10 pagi semalam, seramai 657 individu telah disaring melibatkan Kluster Redong 1 dan 98 daripadanya positif COVID-19, manakala 283 negatif dan 276 masih menunggu keputusan.

“Usaha bagi melakukan ujian dan pengesanan kontak masih giat dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Segamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat berkata pengurusan di dalam kawasan PKPD itu diambil alih pihaknya dan bilik gerakan turut diaktifkan bermula semalam yang berpusat di Dewan Serbaguna, Tenang Stesen.

“Bilik gerakan ini akan bertindak menyelaras pengurusan PKPD dengan diketuai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat,” katanya.

Nasri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai hal berkaitan keselamatan dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala agihan sumbangan, bantuan dan bekalan makanan pula diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam melalui bilik gerakan itu.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Felda Redong 1 dilakukan selepas kes Covid-19 didapati menular ke seluruh lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan masih tinggi.

POPULAR