PKPB di enam negeri disambung

Lima negeri, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan, masih diletakkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 14 April ini, manakala Sarawak pula asehingga 12 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun secara keseluruhan trend penularan COVID-19 menurun tetapi ada beberapa negeri menunjukkan status turun naik dan peningkatan kes.

“Pengekalan status PKPB di negeri Semenanjung berkuat kuasa mulai 1 April hingga 14 April kecuali Sarawak yang akan bermula hari ini hingga 12 April,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, hari ini.

Katanya, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi mereka yang mengikuti pelan gelembung pelancongan untuk negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.

“Kerajaan turut mengekalkan status PKPP di 10 negeri dan Wilayah Persekutuan iaitu Perlis, Kedah, Perak, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Labuan untuk tempoh sama iaitu mulai esok hingga 14 April.

“Pergerakan rentas daerah dibenarkan di semua negeri PKPB dan PKPP kecuali Sabah dan Sarawak kerana ia bergantung keputusan kerajaan negeri,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR