
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan dan larangan yang ditetapkan kerajaan sekarang ini semata-mata bertujuan menjauhkan rakyat daripada terus dijangkiti wabak Covid-19.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah dan keluar hanya untuk melaksanakan urusan penting sahaja.
“Yang pasti, semua tindakan dan larangan ditetapkan Kerajaan seperti tidak membenarkan aktiviti kunjung-mengunjungi semasa sambutan adalah semata-mata untuk menjauhkan rakyat daripada terus dijangkiti wabak ini,” katanya sambil mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021.
Beliau berkata masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Pesta Kaamatan sebelum disusuli dengan sambutan Hari Gawai oleh komuniti Dayak di Sarawak, dua hari selepas itu.
Kedua-dua perayaan ini disambut sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan rezeki selepas berakhirnya musim menuai, katanya.
Namun Perdana Menteri berkata, sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini tentunya diraikan dalam suasana berbeza berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa dalam usaha membendung peningkatan jangkitan Covid-19.
“Saya memahami perasaan sedih anda semua kerana tidak dapat meraikan perayaan ini dengan meriah sebagaimana tahun-tahun terdahulu.
“Nasihat saya, raikanlah perayaan ini dalam norma baharu bersama ahli keluarga di rumah dengan suasana yang ceria. Elakkan daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan yang penting.
“Semoga perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada tahun ini menguatkan lagi iltizam kita semua untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan demi kemakmuran bersama dan masa depan negara yang lebih cerah.
Perdana Menteri mengakhiri ucapannya dengan kata-kata ‘Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Gayu Guru Gerai Nyamai’.