PKP penuh sebulan patut dilaksanakan, kata Tun Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama sebulan sebagaimana dilaksanakan pada Mac tahun lalu mungkin satu-satunya cara untuk mengekang penularan dan jangkitan wabak Covid-19, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ketika negara mula-mula diserang wabak Covid-19 seluruh negara menerima PKP penuh sehingga tiada kelihatan kenderaan di jalan raya.

Katanya, selepas sebulan PKP penuh dilaksanakan, negara mencapai kejayaan sehinggakan kes baharu jangkitan dan kematian tidak melebihi 10 kes sehari.

“Kita menjadi lebih yakin. Kita yakin kita tahu bagaimana menangani wabak tersebut. Dan kita mengadakan pilihan raya di Sabah. Sejak itu, kita telah melihat peningkatan jumlah kes hingga tahap yang menakutkan. Pada puncaknya terdapat lebih dari 6,000 kes sehari (19 Mei 2021),” katanya menulis dalam laman blog beliau hari ini.

Dr Mahathir berkata, keengganan kerajaan menutup bazar Ramadan sejak awal menyebabkan kes harian jangkitan Covid-19 meningkat, dan apabila keadaan menjadi tidak terkawal maka bazar itu ditutup hingga menyebabkan kerugian kepada peniaga.

Beliau berkata, apa pun yang mungkin menjadi penyebab berlakunya lonjakan, keperluan mendesak ketika ini adalah untuk mengurangkan jumlah kes baharu.

Katanya, adalah tepat apabila kerajaan memperkenalkan semula PKP sekarang ini, tetapi ianya kurang tegas dalam pelaksanaannya.

“Namun mengurung orang ramai di rumah bermaksud mereka tidak akan mempunyai wang dan makanan, dan untuk itu kerajaan mesti bertanggungjawab menjaga kehidupan rakyat.

“Harus ada kantin umum di mana makanan disediakan, dibungkus dan dihantar ke rumah,” katanya sambil mencadangkan perkhidmatan kurier diguna untuk menghantar makanan kepada penduduk.

Katanya, pihak berkuasa, termasuk polis dan tentera harus sangat tegas dalam memastikan orang ramai tidak keluar membeli-belah atau melakukan apa-apa.

“Vaksinasi mesti dipercepat. Kita harus menerima apa sahaja vaksin yang telah digunakan di negara lain secara meluas. Usaha khas harus dilakukan agar orang kampung diberi vaksin. Pelitup muka mesti dipakai, dan tangan sentiasa dicuci.

“Ujian yang kerap harus dilakukan untuk memastikan semua orang yang dijangkiti dikenal pasti dan dikuarantin. Suntikan vaksin pertama dapat membantu mengurangkan jumlah kes baru, tetapi mereka yang sudah menerima vaksin perlu diuji berulang kali,” katanya.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
Kerajaan kaji tetapkan harga siling minyak masak botol 5kgJune 12, 2021