PKP penuh bakal diketahui dalam mesyuarat MKN esok: Takiyuddin

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka membincangkan sama ada akan memberi cadangan kepada kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau tidak, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat MKN berkaitan Covid-19 di Putrajaya esok akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jam 3 petang akan turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Menjawab soalan pemberita di Kota Bharu selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Kelantan hari ini, beliau berkata PKP penuh itu antara yang perlu difikirkan oleh MKN.

Katanya, Kerajaan Pusat melihat penularan Covid-19 adalah satu perkara yang amat serius dan berdasarkan statistik kelmarin jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta.

“Kematian pula sudah lebih 2,000 dan kita berasakan ia satu perkara yang amat membimbangkan dan kita sedar kerjasama kuat daripada Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia.

“Selama ini kita mengambil langkah dengan mengadakan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sama ada secara keseluruhan atau bersasar bergantung kepada keadaan untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya

Semalam, negara mencatat rekod baharu tertinggi jangkitan Covid-19 harian dalam tempoh 24 jam iaitu sebanyak 6,075 kes dengan 46 kematian dicatatkan.

Rekod tertinggi yang dicatatkan sebelum ini ialah 5,728 kes iaitu pada 30 Januari lalu.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangakn kerajaan melaksanakan PKP penuh selama sebulan sebagaimana dilaksanakan pada Mac tahun lalu untuk mengekang penularan dan jangkitan wabak Covid-19.

Beliau berkata, ketika negara mula-mula diserang wabak Covid-19 seluruh negara menerima PKP penuh sehingga tiada kelihatan kenderaan di jalan raya.

Katanya, selepas sebulan PKP penuh dilaksanakan, negara mencapai kejayaan sehinggakan kes baharu jangkitan dan kematian tidak melebihi 10 kes sehari.

BERITA BERKAIT
POPULAR