PKP: Kita tidak mahu rakyat kita meninggal tepi jalan

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula tengah malam tadi dan Kuala Lumpur pada 7 Mei bertujuan untuk menjaga kemaslahatan rakyat.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun sedar hakikat bahawa tindakan itu akan dimarah serta dicemuh oleh rakyat, kerajaan ‘terpaksa’ mengambil langkah berkenaan.

“Rakyat kena faham bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan rakyat, saya tahu rakyat marah tujuan kita adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat, kita tidak mahu Malaysia akhirnya jadi seperti di India.

“Di India pemimpin mereka mengisytiharkan mereka sudah menang di dalam perang menentang Covid-19, akhirnya mereka mula memberikan kebebasan dan apabila berlaku penularan Covid-19 kerajaan sudah tidak mampu mengawalnya, dan kita tak mahu perkara ini berlaku kepada negara kita,” katanya menerusi perkongsian sebuah video di Facebooknya hari ini.

Katanya, sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah segera untuk melaksanakan PKP, negara mungkin berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

“Sekiranya tiada intervensi dan pematuhan tidak lagi diikuti dengan baik oleh rakyat tidak mustahil lepas raya esok boleh meningkat sehingga 5 sampai 10 ribu, kita mungkin jadi macam India.

“Tengah berdiri tunggu bas pun boleh pengsan dan meninggal dunia di tepi jalan, kita tidak mahu perkara itu berlaku di negara kita, sebab itu intervensi perlu dilakukan dengan segera dan saya harap rakyat faham tindakan yang dilakukan adalah untuk melindungi nyawa mereka,”tegasnya.

Katanya, kerajaan tidak mahu menjadi kerajaan tidak bertanggungjawab jika keadaan itu berlaku dan atas sebab sayangkan rakyat, PKP merupakan jalan terbaik.

POPULAR