
Penularan pandemik Covid-19 menjadi punca persediaan pelaksanaan Undi 18 terjejas, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diperkenalkan, kata Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh bagaimanapun berkata, SPR bersikap realistik di sebalik komitmen mereka untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan Undi 18 seperti yang diluluskan Parlimen sebelum ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pelaksanaan PKP secara tidak langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR bagi membuat persediaan pelaksanaan Undi 18.
“Justeru, pendaftaran pemilih secara automatik dan Undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR,” katanya.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 mengenai Undi 18 dan pendaftaran automatik pemilih diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat apabila 211 daripada 222 Ahli Parlimen memberikan sokongan pada 16 Julai 2019.