PKP 3.0 lebih ketat: Sidang media bersama MKN, KKM 5 petang ini

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan mengadakan sidang media bersama petang ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan muncul bersama dalam satu sidang media khas hari ini.

Sidang media itu bertujuan memperjelaskan secara lebih lanjut mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang akan diperketatkan lagi merangkumi sektor ekonomi dan sosial.

Semalam, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memperketatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan pada 22 Mei 2021.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang,” kata kenyataan itu.

POPULAR