Pindaan Perlembagaan untuk elak percanggahan RUU Anti Lompat Parti: PAS

PAS berpendirian pindaan Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu perlu dipinda bagi mengelakkan percanggahan yang akan timbul sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan kelak di Dewan Rakyat nanti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS akan menyokong penuh pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang kerajaan semasa Sidang Khas 11 April nanti.

“PAS akan memberikan sepenuh sokongan kepada Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dalam Sidang Khas Parlimen pada 11 April 2022 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(3) yang berkaitan dengan Perkara 10(1)(c), iaitu berhubung dengan kebebasan berpersatuan (freedom of association),” katanya dalam satu kenyataan.

Pindaan Perkara 10(1)(c) dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan hak warganegara untuk berpersatuan dan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

Takiyuddin memberi contoh kes terdahulu berhubung isu lompat yang pernah dibicarakan di mahkamah, dimana diputuskan sebarang undang-undang berkaitan lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan selagi ia tidak dipinda.

“Berdasarkan kes Dewan Undangan Negeri Kelantan -lawan- Nordin Salleh & Anor., yang diputuskan oleh Mahkamah Agong Malaysia pada 3 April 1992, sesuatu peruntukan Undang-undang ataupun Perlembagaan Negeri berkaitan Sekatan Lompat Parti akan dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan selagi Perkara 10 tidak dipinda bagi membolehkan suatu Akta Lompat Parti digubal dan diluluskan oleh Parlimen,” katanya lagi.

Mengambil kira keputusan terdahulu di mahkamah, Takiyuddin berkata Kabinet membuat keputusan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan sebelum menggubal RUU Anti Lompat Parti di Parlimen nanti.

“Maka atas dasar inilah, Jemaah Menteri yang bersidang pada 6 April 2022 memutuskan Sidang Khas Parlimen pada 11 April 2022 perlu bersidang untuk meminda Perkara 10 bagi membolehkan suatu Akta berkaitan Lompat Parti dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen dalam suatu sidang yang lain,” katanya.

Jelasnya lagi, Kabinet juga berpendirian perkara-perkara berkaitan dengan Lompat Parti dan implikasinya dari segi undang-undang perlu dimasukkan secara lengkap dan terperinci di dalam suatu Akta Parlimen yang khusus.

“Akta Parlimen tersebut perlu merangkumi definisi-definisi yang tepat, misalan-misalan yang terang dan penjelasan yang konkrit bagi mengelakkan kekeliruan (lacuna), penyalahgunaan kuasa (abuse of power) dan kemungkinan berat sebelah (likelihood of biasness) yang turut menyebabkan pihak-pihak yang terkesan mencabarnya di mahkamah,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan wujud ‘sabotaj politik’ dalam isu RUU Anti Lompat Parti yang gagal dibentang di sidang Dewan Rakyat, Isnin ini.

Sebaliknya, menurut beliau terdapat perbezaan pendapat, termasuk berkaitan istilah ‘lompat parti’ dan beberapa ciri-ciri RUU itu.

Wan Junaidi juga sebelum ini menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen (MP) melompat parti, dalam draf pentadbiran RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti.

Pertama, ialah MP itu dikira lompat parti apabila beliau yang memenangi pilihan raya, kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain.

Kedua, seorang MP memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti, juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bertujuan memastikan MP patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

Ketiga, tindakan lompat parti itu juga membabitkan MP Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai parti politik selepas kemenangannya.

Beberapa pemerhati politik menyifatkan undang-undang anti lompat parti itu agak pelik, khususnya berkaitan istilah ‘lompat parti’ itu sendiri yang boleh mendatangkan huru-hara dalam kalangan rakyat.

Ia terutama melibatkan perkara kedua yang bagi mereka akan mengheret pengundi untuk berdepan lebih banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pastinya menelan belanja berjuta-juta ringgit wang rakyat, sekiranya berlaku pertelingkahan politik dalam koridor kuasa parti masing-masing.

Pemerhati politik melihat sekiranya Presiden tidak suka kepada seseorang di dalam partinya atau yang dilihat cuba menentangnya dalam pemilihan parti, beliau akan mempengaruhi majlis tertinggi parti untuk memecat MP tersebut yang sekali gus dianggap lompat parti.

Oleh itu, sekiranya berlaku perebutan kuasa dalam parti atau ada MP yang berselisih faham dengan Presiden atau ahli majlis tertinggi yang berpengaruh, mereka akan dipecat dan PRK terpaksa diadakan.

Pemerhati politik berpendapat undang-undang yang sepatutnya memberi jalan penyelesaian kepada masalah rakyat akan bertukar menjadi ‘pencetus masalah’ dan hanya menelan kos serta wang rakyat semata-mata memenuhi cita-cita dan memuaskan ‘perperangan’ sesama ahli politik.

BERITA BERKAIT
POPULAR