
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berbincang dengan pegawai di Kementerian Dalam Negeri.
Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Akta A1644) yang akan berkuat kuasa esok diharap mampu menjadi penyelesaian terbaik dalam menzahirkan usaha Malaysia menangani jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dengan lebih berkesan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin yakin pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat melalui undang-undang pindaan itu boleh menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa.
Beliau berkata, ia sekali gus meningkatkan imej Malaysia pada mata masyarakat dunia.
“Akta A1644 itu mendapat perkenan Diraja pada 19 Januari lalu dan dimasukkan dalam Warta pada 25 Januari. Kementerian Dalam Negeri menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa Akta A1644 pada 22 Februari iaitu esok.
“Secara keseluruhannya, terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan membabitkan pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan (coercion); peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan; peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk membabitkan penjawat awam.
“Pewujudan kuasa Menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguatkuasa bawah Akta 670; penambahan keanggotaan organisasi lain dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dalam Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO); dan peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam pengurusan dan kawalan pegawai pelindung serta rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ni.
Akta 670 adalah akta asal sebelum ia dipinda.
Hamzah berkata, Akta 670 itu sendiri adalah instrumen perundangan utama negara dalam mendepani isu perhambaan zaman moden sekaligus membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.
Beliau berkata, pindaan terhadap akta berkenaan dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan menangani kedua-dua jenayah berkenaan serta memperkasakan peruntukan berkaitan.
“Seluruh lapisan masyarakat adalah digalakkan untuk bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membanteras jenayah ini dengan melaporkan sebarang maklumat melalui Chatbot di laman Facebook Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, e-mel [email protected] dan talian 03-8000 8000,” katanya.