
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak didakwa menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk meminda laporan akhir audit 1MDB, manakala bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy pula dituduh bersubahat.
Keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Razak berkait pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditetapkan 30 Januari tahun depan.
Memetik laporan Sinar Harian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada bekas perdana menteri itu dibebaskan atau dipanggil untuk membela diri.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Pihak pembelaan membangkitkan isu sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy boleh diberikan indemniti atau pengecualian liabiliti undang-undang dan dibebaskan daripada tuduhan selepas dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara Arul Kanda oleh Datuk N Sivananthan.
Najib, 69 didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45 pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.