
Nahas di Kilometer 62, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli yang menyebabkan lima sekeluarga meninggal dunia, semalam, 23 Julai 2022. - Gambar FB
Siasatan awal polis mendapati, trak pikap jenis Toyota Hilux telah hilang kawalan dan bertembung dengan Perodua Alza dinaiki lima sekeluarga yang maut dalam satu kemalangan di KM62, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata akibat hilang kawalan, Toyota Hilux itu telah masuk ke arah jalan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) itu yang dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.
“Impak dari kemalangan itu menyebabkan pemandu dan empat penumpang Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian. Kesemua mangsa berasal dari Sungai Petani dan Lunas, Kedah,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata pemandu termasuk empat penumpang Toyota Hilux yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Jeli, Kelantan.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai dinasihtkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu serta merancang perjalanan serta mendapatkan rehat yang secukupnya ketika ingin melakukan perjalanan yang jauh.
Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang semalam, lima mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Khomaini Baba, 32, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, Mohamad Rodhi Othman, 64, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.
Sementara itu, anak kepada Mohamad Rodhi, Muhammad Naim berkata konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sebulan lalu menjadi kenangan terakhir sebelum ibu dan bapanya maut dalam nahas itu.
Anak bongsu berusia 26 tahun itu berkata dia menerima panggilan daripada ahli keluarganya pada petang semalam yang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut yang turut mengorbankan kakak, abang ipar dan anak saudaranya.
“Saya terkejut dan tidak sangka mereka semua terlibat dalam kemalangan itu. Kali terakhir saya berjumpa dengan ibu dan ayah sewaktu mereka menghadiri majlis konvokesyen saya di UiTM Shah Alam sebulan lalu.
“Masa tu saya tidak nampak apa-apa perubahan ayah dan ibu. Saya reda dengan takdir yang menjemput mereka,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu dalam keadaan sedih ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik di sini hari ini.
Difahamkan sebelum itu keluarganya dalam perjalanan pulang ke Butterworth selepas menghantar ahli keluarga mereka mendaftar masuk di sebuah sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan awal pagi semalam.
Muhammad Naim yang bekerja sebagai penjaga padang di Shah Alam, Selangor berkata kesemua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Butterworth petang ini.
Sementara itu, seorang lagi keluarga mangsa, Ahmad Afif Baba, 30, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan abangnya, Ahmad Khomaini pada Hari Raya Aidiladha di Dungun, Terengganu baru-baru ini.
“Saya mendapat berita kemalangan itu daripada kakak ipar saya dari Kuala Kangsar dan saya difahamkan mereka dalam perjalanan balik dari Kelantan ke Pulau Pinang. “Saya reda dan terima suratan takdir ini,” katanya.
Dalam pada itu suasana muram menyelubungi Unit Forensik, Hospital Gerik apabila ahli keluarga mangsa datang untuk menuntut jenazah mangsa sejak awal pagi tadi.