Pihak pendakwa tutup hujahan, perkukuh sabitan bersalah Najib

August 19, 2022 · Isu semasa

Pihak pendakwaan diketuai Pendakwa Raya Ad Hoc Datuk V Sithambaram hari ini (19 Ogos 2022) menamatkah hujahan lisan di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dalam hujahan dua hari bermula semalam, Sithambaram memperkukuhkan kes pendakwaan terhadap Najib dengan mengulangi mengapa Mahkamah Persekutuan perlu mengekalkan sabitan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu atas kesalahan berkaitan kes SRC.

Peguam kanan jenayah itu, yang bertindak sebagai pendakwa ad hoc dalam kes ini, menggariskan secara terperinci bagaimana Najib telah terlibat dalam kes itu.

Beliau juga memaklumkan panel hakim itu secara terperinci tentang bagaimana dan mengapa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan Najib atas kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Perbicaraan hari ini bermula dengan cara yang tidak kurang dramatik berbanding bagaimana keseluruhan rayuan telah dijalankan dari hari pertama pada Isnin.

Sejurus selepas mahkamah dipanggil bersidang, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik berdiri dan memaklumkan kepada panel hakim bahawa anak guamnya telah menamatkan khidmat firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners yang baharu dilantik daripada mewakilinya.

Bagaimanapun, berita ini nampaknya tidak mengejutkan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan hakim-hakim lain yang terdiri daripada Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hisyam baharu sahaja selesai memaklumkan kepada hakim tentang apa yang dilakukan Najib apabila Tengku Maimun mengarahkan Sithambaram untuk meneruskan penghujahannya.

Sebelum ini Najib dilaporkan telah menggugurkan peguam lamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma guamannya Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir SRC hanya beberapa minggu sebelum ia dijadualkan bermula.

Beliau kemudian melantik firma Zaid Ibrahim untuk bertindak sebagai peguam caranya. Zaid hadir di mahkamah sejak pendengaran rayuan bermula pada Isnin tetapi dia dan orang lain dari firmanya tidak kelihatan hari ini.

Hisyam semalam juga memohon untuk melepaskan dirinya daripada mewakili Najib tetapi dihalang daripada berbuat demikian oleh hakim, yang menjelaskan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak akan melayan sebarang rayuan lagi agar pendengaran ditangguhkan.

Dalam hujahan akhirnya hari ini, Sithambaram menyentuh bagaimana SRC ditubuhkan dan memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Katanya, sejumlah besar wang itu iaitu RM3.6 bilion dihantar ke Bank BSI di Lugano, Switzerland pada 2012, manakala baki RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib antara 2014 hingga 2015.

Pendakwaan memberitahu mahkamah, RM42 juta itu “digunakan oleh perayu (Najib) untuk manfaat peribadi dan tujuan politiknya”.

Mereka berhujah RM42 juta itu dialirkan menerusi dua entiti iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd sebelum masuk ke akaun Najib.

Najib memohon mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan RM42 juta dana SRC yang memasuki akaun banknya.

Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib.

Berita berkaitan
Keputusan kes saman LHDN terhadap Shafee tak bayar cukai pada 28 Sept
September 13, 2022· Isu semasa
Khairy sangkal dakwaan ubat diberi kepada Najib ditukar
September 13, 2022· Isu semasa
Najib keluar 46 cek RM10.3 juta pada 2011, pemimpin politik antara penerima: Saksi
September 12, 2022· Isu semasa
Najib sihat semasa dibenarkan keluar dari HKL, kata Dr Noor Hisham
September 12, 2022· Isu semasa
Popular
Kes libat Syed Saddiq lebih berat daripada Rosmah, SRC: Pendakwaan
October 6, 2022
Kenyataan Istana Negara tak sebut pembubaran Parlimen
October 6, 2022
PM menghadap Agong 45 minit
October 6, 2022
Rakyat terbeban, harga barang naik lagi tapi UMNO galak nak PRU juga
October 6, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Guna 16.3% hasil negara bayar faedah hutang membimbangkan
9 jam lalu · Isu semasa
Kenyataan Istana Negara tak sebut pembubaran Parlimen
10 jam lalu · Isu semasa
Kutipan cukai individu 2021 jatuh RM11 bilion: Ketua Audit Negara
11 jam lalu · Isu semasa
Rakyat terbeban, harga barang naik lagi tapi UMNO galak nak PRU juga
11 jam lalu · Isu semasa
PM menghadap Agong 45 minit
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Menteri PN peduli rakyat, hantar petisyen tangguh PRU15
12 jam lalu
[VIDEO] Perkukuh ukhwah, tolak usaha pecah belahkan PN
19 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok