
Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia menggesa kerajaan dan pihak berkuasa Islam untuk tidak mengenakan larangan menyeluruh terhadap orang Islam daripada pergi ke tempat ibadat agama lain.
Di tengah-tengah kehangatan isu ‘Jom Ziarah Gereja’ anjuran sebuah badan di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), majlis antara agama bukan Islam pula menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa Islam di Malaysia supaya tidak melarang umat Islam mengunjungi rumah ibadat agama lain.
Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) berkata lawatan ke rumah ibadat yang berbeza perlu digalakkan kerana ia untuk menggalakkan persefahaman, penghormatan dan keharmonian antara penganut agama yang berbeza.
“Lawatan perpaduan ke tempat ibadat adalah untuk melihat dan memahami budaya yang berbeza.
“Tiada penyebaran mana-mana agama yang terlibat,” kata Presidennya Jagir Singh dalam satu kenyataan menurut MalayMail.
Semalam, ketika mengulas berkaitan program ‘Jom Ziarah Gereja, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata MAIS melihat program ini mempunyai elemen untuk menarik perhatian belia “terutamanya belia Islam” untuk belajar dan menimba ilmu tentang agama selain Islam.
“Program sebegini jika dibenarkan dianjurkan, boleh mempengaruhi pemikiran remaja Islam secara halus dan tanpa sedar untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain Islam yang mereka anuti,” katanya yang turut mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.
Isu menyentuh sensitiviti agama itu tercetus beberapa hari lalu, apabila Impact Malaysia – satu inisiatif di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) – menganjurkan program ‘Jom Ziarah’ yang kali ini melibatkan lawatan belia bukan Kristian ke gereja.
Iklan berkaitan program itu turut ditulis dalam bahasa Melayu dan disiarkan di media sosial.
Mengulas lanjut, Jagir berkata kenyataan oleh Exco Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, baru-baru ini menunjukkan bahawa walaupun lawatan perpaduan ke rumah ibadat ianya tetap tidak dibenarkan.
“Enakmen Agama Bukan Islam (kawalan Penyebaran Dalam Kalangan Orang Islam) 1988 yang dirujuk oleh Exco Kerajaan Negeri adalah digubal di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan yang melarang hanya ‘penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama itu. Islam’.
“Oleh itu, jika tiada penyebaran agama lain kepada orang Islam, tiada kesalahan dilakukan. Oleh itu, melawat tempat ibadat semata-mata tidak boleh menjadi satu kesalahan,” kata Jagir.
Oleh itu, MCCBCHST katanya, menyeru kerajaan dan pihak berkuasa Islam untuk tidak mengenakan larangan menyeluruh terhadap orang Islam daripada pergi ke tempat ibadat agama lain.
“Adalah perlu bagi semua kaum untuk bekerjasama dalam semangat muhibah, saling menghormati untuk meningkatkan keharmonian dan perpaduan dalam negara,” tegas Jagir.