
Malaysia melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) pada 3 Februari 2022.
Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyambung semula Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sekiranya mendapat permintaan daripada ibu bapa.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata langkah itu bagi memberi peluang kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman untuk mendapatkan suntikan vaksin percuma selepas program itu berakhir 31 Mei lepas.
“Kita tidak akan buka dan sekiranya ada permintaan khas, ia (PICKids) dibuat sempena pengiktirafan Minggu Imunisasi Kebangsaan yang diadakan di Sabah untuk diberikan kepada mereka yang belum mencapai umur lima tahun sehingga hujung tahun ini serta mereka yang tidak mendapat suntikan vaksin kerana dijangkiti Covid-19,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Memanah anjuran Abu Talhah Traditional Archey Club (ATTAC) di Bagan Serai hari ini.
PICKids telah dimulakan pada 3 Februari tahun ini bagi kanak-kanak berusia lima hingga di bawah 12 tahun dan ditamatkan pada 31 Mei lalu kerana kurang mendapat sambutan.
Sehingga semalam (17 Jun) sebanyak 3,010,713 dos vaksin Pfizer Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection telah diberikan kepada golongan kanak-kanak pada usia itu.
Daripada jumlah itu, seramai 1,274,244 aau 35.9 peratus kanak-kanak telah lengkap menerima dua dos, termasuk 12,681 daripadanya semalam, manakala 1,736,469 atau 48.9 peratus lagi menerima suntikan dos pertama.
Dr Noor Azmi berkata mereka yang berkenaan boleh mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk membuat janji temu bagi tujuan vaksinasi.
“Kita memberi peluang ini kepada mereka yang tinggal di pedalaman yang menghadapi masalah Internet seperti di Sabah… apabila mereka keluar (untuk menyertai PICKids), didapati imunisasi sudah tidak ada (tamat),” katanya.
Beliau berkata Jawatankuasa Kampung boleh membantu mengumpulkan penduduk dan berbincang bersama pengarah kesihatan negeri yang akan membuat keputusan berkaitan pemberian vaksin.
Menurutnya orang ramai juga boleh mendapatkan vaksinasi sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan bermula 20 hingga 24 Jun ini di semua klinik kesihatan seluruh negara secara jumpa terus.
“Saya berdoa dan berharap ibu bapa tampil membawa anak-anak bagi mendapatkan vaksinasi kerana bimbang anak-anak terdedah dengan virus Covid-19,” katanya.