PICK berjaya, kes baharu Covid-19 turun sejak Ogos

Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu mulai menunjukkan tanda-tanda kejayaan pada hujung Ogos lalu, susulan purata jumlah jangkitan harian yang direkodkan semakin turun.

Arah aliran penurunan jangkitan baharu itu juga didapati mula muncul setelah jumlah populasi individu lengkap menerima dua dos vaksin mencapai tahap 46 peratus.

Kejayaan program itu dikongsi Pengarah Pusat Penyelidikan Klinikal Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Kalaiarasu M Peariasamy yang menegaskan data ditunjukkan sekali gus membuktikan keberkesanan pemberian semua jenis vaksin menerusi PICK.

Pada sesi libat bersama media secara maya berhubung PICK dan PICK Remaja secara maya, hari ini beliau juga menjelaskan perkembangan kes kematian akibat Covid-19 turut merekodkan penurunan sejak awal September apabila jumlah populasi rakyat lengkap divaksin mencapai 55 peratus.

“Setakat 12 September lalu, pemberian vaksinasi lengkap dapat mengurangkan risiko kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 83 peratus, manakala risiko kematian pula sebanyak 88 peratus.

“Kes aktif telah sampai tahap tertinggi penghujung Ogos dan menurun seperti kes harian. Kami harap pada penghujung tahun ini kita mencapai lebih kurang 4,000 dan ke bawah bagi kes aktif,” katanya dalam

Dr Kalaiarasu juga memaklumkan kajian membabitkan 1,261,270 individu lengkap dan separa lengkap vaksin mendapati, risiko dijangkiti Covid-19 dapat dikurangkan sehingga 88 peratus bagi mereka yang lengkap divaksin berbanding 51 peratus bagi suntikan vaksin separa lengkap.

Bagi data kajian ‘breakthrough infection’ Covid-19 melibatkan 14,500,984 individu lengkap vaksinasi, hanya 0.007 peratus atau 953 daripadanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 0.010 peratus (1,445) dilaporkan maut.

“Secara keseluruhan, vaksin berkesan mencegah dan mengurangkan penyakit teruk dan kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 selain mengurangkan beban sistem kesihatan.

“Sementara individu yang tidak divaksin pula berdepan 11 kali lebih tinggi risiko kematian akibat jangkitan varian delta,” katanya.

Setakat semalam, seramai 18,964,474 individu atau 81.0 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR