Pharmaniaga guna dron hantar ubat

Pharmaniaga Bhd berjaya melakukan penghantaran peralatan perubatan farmaseutikal ke hospital dan klinik kerajaan menggunakan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu atau dron.

Fasa pertama pembuktian konsep (POC) projek berkenaan dengan kod nama – Project Eagle – berjaya dilaksanakan di Pulau Pangkor, Perak membabitkan jarak sejauh 4.2 kilometer (km) dari jeti Manjung ke Klinik Kesihatan Pangkor, merangkumi penghantaran ubat-ubatan untuk rawatan perubatan kecemasan seberat tiga kilogram (kg).

Projek berkenaan dijangka menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses, terutama di kawasan terpencil dan mencabar dari segi geografi, tanpa menjejaskan keselamatan, integriti dan kualiti ubat-ubatan.

“Menerusi inisiatif ini, Pharmaniaga menyasarkan untuk mengurangkan masa dan kos penghantaran secara mendadak serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan memandangkan penghantaran menggunakan dron dianggarkan lima kali lebih cekap berbanding kaedah penghantaran konvensional yang memerlukan bot dan kenderaan lasak untuk menghantar ubat ke hospital dan klinik kerajaan,” kata Pharmaniaga dalam kenyataan hari ini.

Pharmaniaga berkata, POC adalah penghantaran perubatan dron jarak jauh pertama bagi produk farmaseutikal di atas air di Malaysia, diketuai oleh juruterbang wanita.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata Project Eagle akan membawa syarikat selangkah lebih dekat untuk melancarkan program berskala besar bagi penghantaran ubat-ubatan penting menerusi dron.

Menurutnya, cara penghantaran biasa menggunakan feri dari jeti di Manjung ke klinik di Pulau Pangkor akan mengambil masa kira-kira 30 minit, berbanding hanya 3.5 minit apabila menggunakan dron seperti yang dicatatkan.

“Walaupun cuaca tidak mengizinkan akibat hujan renyai dengan jarak penglihatan yang lemah disebabkan 100 peratus dilitupi awan, Project Eagle di Pulau Pangkor berjaya dilaksanakan.

“Teknologi dron canggih dari segi prestasi dan keberkesanan kos berbanding logistik tradisional, terutama apabila menghantar produk ke lokasi yang mencabar secara geografi. Penggunaan dron mempunyai potensi tinggi untuk digunakan ketika kecemasan dan tindak balas pantas yang mencabar secara geografi.

“Walaupun dalam ruang pendaratan yang sempit dan terhad, ia pendaratan yang tepat untuk dron Project Eagle menggunakan Kod QR. Ini benar-benar era peneraju dan baharu untuk mengangkut ubat-ubatan,” katanya.

Project Eagle akan diteruskan dengan beberapa lagi peringkat di lokasi dan rupa bumi yang berbeza, termasuk kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Penemuan daripada projek itu akan didokumen dan diserahkan kepada kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Project Eagle disokong oleh Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC); Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia; Boustead Holdings Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd.

BERITA BERKAIT
POPULAR