PH sokong Tengku Maimun, gesa kerajaan PM UMNO hormati MoU

Pakatan Harapan (PH) memberi sokongan penuh terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ekoran serangan yang dihadapi badan kehakiman negara itu yang dibuat oleh kerajaan UMNO ketika ini.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata mereka akan berada dibelakang Maimum dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman negara ini, selain membidas Perdana Menteri supaya menghormati memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini.

Untuk rekod, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberitahu UMNO memutuskan untuk tidak menyambung MoU yang akan berakhir pada 31 Julai ini dan akan mengikuti pendirian dibuat itu.

PH berkata sekarang ini MoU itu masih belum berakhir dan Ismail Sabri sewajarnya menghormati perjanjian yang dimerterai untuk memastikan badan kehakiman sentiasa bebas daripada campur tangan politik.

“Justeru, PH menggesa Kerajaan Persekutuan memastikan MoU itu terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

PH berkata, Majlis Presiden menyokong penuh kenyataan Tengku Maimun bahawa “apa yang berlaku dalam beberapa hari ini yang membabitkan tohmahan terhadap hakim dan Badan Kehakiman agak keterlaluan”.

“Amatlah jelas, Badan Kehakiman yang bebas menjadi tunjang kepada negara dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

Pada Rabu, Tengku Maimun berkata walaupun rakyat termasuk ahli politik, pada tahap tertentu, bebas untuk mengkritik, ia tidak bermakna mereka boleh melancarkan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu, bagi kepentingan mereka sendiri.

Menyedari terdapat banyak kes berprofil tinggi yang membabitkan kepentingan awam sedang dibicarakan di mahkamah, Tengku Maimun menambah, hakim dan badan kehakiman dijangka terdedah kepada kritikan dan tuduhan tidak berasas oleh mereka yang terkesan akibat keputusan mahkamah.

Keadaan itu akan berlaku terutamanya jika sesuatu keputusan perbicaraan itu tidak memihak kepada mereka.

Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan bherkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita mendakwa beliau telah disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

BERITA BERKAIT
POPULAR