PH gagal pertahan separuh kerusi, BN dijangka peroleh majoriti menyakinkan

Pakatan Harapan (PH) kehilangan hampir separuh kerusi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini selepas gagal mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, sementara Barisan Nasional (BN) dijangka menang dengan majoriti menyakinkan.

PH gagal mempertahankan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka menangi sebelum ini, sebaliknya BN berjaya memperoleh majoriti yang agak besar sekaligus akan membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) yang masuk buat kali pertama secara solo dalam PRN Melaka kali ini pula dijangka menang dua kerusi DUN yang mereka bertanding.

Bagaimanapun, jumlah undi yang diperoleh PN dilihat meningkat walaupun masuk bertanding dalam PRN kali ini secara solo.

Pusat mengundi seluruh Melaka ditutup secara rasmi jam 5.30 petang tadi dengan peratusan pengundi yang rendah, dianggarkan kira-kira hanya 63 peratus sahaja.

Jumlah pengundi yang rendah nyata memberi kelegaan kepada BN yang nampak yakin akan menang dan menyapu bersih sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, malah suasana di bilik gerakan utama BN di Taman Botanikal, Ayer Keroh tampak bergembira dan seakan membuat persediaan awal untuk menyambut kemenangan mereka.

Seramai 112 calon bertanding dengan BN, PN dan PH bertanding di semua 28 kerusi, manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BERITA BERKAIT
POPULAR