PGA dikerah ke Raub susulan kekecohan pekebun durian

Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerah ke Raub, Pahang bagi menjaga ketenteraman awam di daerah berkenaan berikut kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa, semalam.

Langkah tersebut diambil ekoran tindakan pekebun durian haram yang didakwa mencabar pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menggesa pihak yang terlibat dalam isu berkenaan agar menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan.

“Pihak PGA di sana (Raub) adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas dan PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, beliau meninjau Flat Sri Sabah, Cheras yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 3 Julai hingga 16 Julai depan di sini.

Jelasnya, isu mengenai pencerobohan oleh pekebun durian itu adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.

Semalam, berlaku kekecohan di perkarangan mahkamah apabila beberapa pemimpin DAP bertegang urat dengan pihak berkuasa yang sedang bertugas semasa pekebun tersebut sedang dibawa turun daripada trak polis.

Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun itu direman bagi membantu siasatan Jabatan Perhutanan Pahang berhubung dakwaan meneroka Hutan Simpan Kekal Batu Talam untuk menanam Musang King.

BERITA BERKAIT
POPULAR