
Petronas akan menyumbang RM2 bilion kepada Kumpulan Wang Amanah Negara tahun depan.
Petronas mengesahkan dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. menerima notis ‘Saisie-arret’ semalam, sebagaimana dilaporkan Financial Times hari ini.
Syarikat Petroliam Nasional Malaysia berkata, kedua-dua anak syarikat itu, telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.
“Petronas merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk ‘Petronas subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia’.
“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan ini telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022.
“Petronas ingin menjelaskan kedua-dua anak syarikat ini, telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.
“Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini,” kata syarikat itu dalam kenyataan malam ini.
Aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dilaporkan dirampas oleh individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.
Peguam pihak yang menuntut, dilaporkan merampas kedua-dua anak syarikat Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion.
Peguam berkenaan berkata, bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka.
Langkah itu yang pertama kali dilaporkan, sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemuka pada 2017 oleh pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek-moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.