
Petronas.
Petroliam Nasional (Petronas) akan menaikkan dua kategori elaun untuk pelajar di bawah tajaan mereka, melibatkan 2,267 orang berkuat kuasa serta-merta.
Kategori pertama melibatkan kenaikan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500, untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.
Kategori kedua pula melibatkan pelajar yang baru menerima penajaan Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP), di mana elaun induksi akan dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM 5,000.
Kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi, dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa, seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar.
Tajaan ini diharap dapat mendorong pelajar mengorak melangkah lebih jauh untuk menggapai cita-cita dan pulang dengan kejayaan, serta seterusnya menabur bakti kepada industri dan negara yang tercinta.
Program PESP telah melahirkan tenaga kerja profesional, mahir dan berketerampilan dalam kalangan generasi muda, khususnya bagi mencapai sasaran ‘Negara Maju Berpendapatan Tinggi’ seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Oleh itu, penerima PESP diingatkan agar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh pihak Petronas, dengan mencipta kecemerlangan dan kembali menyumbang kepada negara.
Pada tahun ini, seramai 600 pelajar ditawarkan belajar di bawah program PESP melibatkan nilai tajaan lebih RM340 juta, iaitu bilangan tajaan pelajar tertinggi sepanjang pelaksanaan program ini.
Petronas adalah antara penyokong kuat kepada usaha memperkasa bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.
Malah, syarikat gergasi petroleum negara ini juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bermula dari sekolah rendah.