
Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mencadangkan Petronas mengambil alih Sapura yang mengalami kerugian besar.
Tidak ada sebarang perbincangan diadakan antara Petronas dengan Sapura Energy Bhd seperti yang dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Syarikat pengeluar minyak negara itu dalam satu kenyataan menolak spekulasi berhubung sebarang langkah ambil alih Sapura, ia susulan timbul laporan laporan berita, komen dalam media dan spekulasi baru-baru ini mengenai “perbincangan dengan kerajaan mengenai cadangan untuk mengambil kepentingan utama” dalam Sapura Energy.
“Petronas ingin menafikan sepenuhnya laporan dan spekulasi ini. Kumpulan sentiasa dan akan terus dipandu dengan ketat oleh rangka kerja yang telah ditetapkan untuk sebarang pertimbangan pelaburan atau pelupusan.
“Petronas ingin menekankan ia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan peserta minyak dan gas, memanfaatkan kepakaran dan keupayaan mereka apabila aktiviti meningkat dengan industri pulih daripada kesan Covid-19,” katanya dalam kenyataan itu.
Sapura Energy baru-baru ini melaporkan kerugian bersihnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 meningkat kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Pendapatan merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan oleh peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).
Sementara itu penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Sean Lim, baru-baru ini berkata Sapura Energy dijangka akan terus mengalami kerugian lebih besar bagi tahun kewangan semasa.
Katanya, syarikat itu dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan, apabila paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi, ditambah dengan kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit.
Najib sebelum ini mencadangkan supaya Sapura diselamatkan dengan menyarankan kerajaan memberi pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura Energy bagi menyelesaikan masalah aliran tunai seperti dilakukan Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan Proton.
Najib berkata kerajaan perlu memikirkan tentang kepentingan strategik negara, ekosistem vendor Bumiputera, pekerjaan nilai tinggi bagi rakyat serta ekonomi keseluruhan negara, bukan sekadar cuma satu lagi pelaburan.
Bagaimanapun cadangan tersebut mendapat kritikan keras bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang baharu kembali berpolitik selepas bercuti dengan menjadikan Najib sebagai sasaran selepas membangkitkan usaha untuk menyelamatkan Sapura.
Rafizi berkata sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu.
Namun katanya, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras tinggi, berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik.
“Sekiranya gesaan Najib ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk bina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.
“Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” katanya sebelum ini.