
Petronas.
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan menyumbang RM2 bilion kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tahun depan selaras dengan ikrar kerajaan untuk menambah dana itu sebaik sahaja isu Covid-19 selesai.
Ketika membentangkan Bajet 2023 hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penambahan itu juga bergantung kepada keadaan kewangan negara.
“Kerajaan menyeru lebih banyak entiti untuk menyumbang kepada KWAN demi kepentingan negara pada masa hadapan,” katanya di Parlimen hari ini (7 Oktober 2022).
Tabung amanah negara berdasarkan Akta KWAN 1988, adalah untuk menjana sumber pendapatan berterusan bagi manfaat negara dan generasi akan datang.
Selaras dengan tujuan itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan memperuntukkan sehingga RM6 bilion untuk vaksin Covid-19.
Sehingga 30 September tahun ini, beliau berkata kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM5 bilion untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kerajaan mahu memberi jaminan bahawa peruntukan stok vaksin masih mencukupi bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksin tambahan pada 2023,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata sektor kesihatan akan menerima peruntukan lebih besar iaitu RM36.1 bilion di bawah Bajet 2023, berbanding RM32.4 bilion dalam Bajet 2022.
Menurutnya RM4.9 bilion akan diperuntukkan untuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam sebanyak 12 peratus berbanding tahun ini.
“Sebanyak RM1.8 bilion akan diperuntukkan untuk membina hospital, klinik dan kemudahan baharu, serta untuk perolehan peralatan perubatan,” katanya.