Petisyen kes SRC: Najib dakwa dua mahkamah guna logik, rasional sendiri

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan menggunakan logik dan rasional sendiri yang bercanggah dengan bukti yang membebaskannya daripada tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram.

Memetik laporan Mkini, Najib memfailkan pestisyen rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan lewat petang tadi berhubung sabitan hukuman yang dijatuhkan kedua-dua mahkamah itu berkaitan kes rasuah RM42 juta membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Awal hari ini, Mahkamah Persekutuan memberinya masa tambahan iaitu sehingga lewat hari ini, untuk Najib memfailkan petisyen rayuan.

Laporan itu antara lain mengatakan Najib yang juga bekas penasihat emeritus SRC mendakwa Mahkamah Rayuan telah tersilap dari segi fakta dan undang-undang dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata dia terkilan dengan apa yang menurutnya kesilapan undang-undang yang dibuat oleh kedua-dua mahkamah dalam alasan penghakiman masing-masing, menurut laporan itu.

Najib mendakwa kedua-dua mahkamah tersilap dalam fakta dan undang-undang apabila gagal menilai bukti dengan betul dan gagal mengiktiraf perbezaan antara fakta terbukti dan tidak terbukti, antara inferens yang boleh dibuat dan tekaan semata-mata berdasarkan cadangan, dakwaan tidak berasas, sangkaan, syak wasangka dan khabar angin.

Najib turut mendakwa bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kesahihan dan kebolehterimaan dokumen.

Semasa peringkat perbicaraan, pasukan pembela Najib telah mengemukakan bukti dokumentari yang didakwa untuk menyokong pembelaannya melibatkan derma yang dikatakan daripada royalti Arab.

“Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi telah tersilap fakta dan/atau undang-undang dalam membuat penemuan mengenai unsur-unsur semua pertuduhan dengan menggunakan logik atau rasional mereka sendiri bercanggah dengan keterangan lisan dan/atau dokumen.

“Hujahan akan dikemukakan bahawa hak perbicaraan adil perayu (seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan dituntut oleh prinsip sejagat dan norma antarabangsa) dinafikan khususnya disebabkan oleh kegagalan yang jelas oleh pihak pendakwaan untuk membuat pendedahan pra-perbicaraan yang perlu bagi bahan yang tidak digunakan dan secara amnya dengan ketiadaan rejim yang ketat dan mandatori untuk pendedahan bahan yang tidak digunakan yang mampu menjejaskan kes pendakwaan atau membantu kes perayu.

“Secara keseluruhannya, perayu akan membentangkan kesilapan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta tindakan pihak pendakwaan yang telah menafikan hak perayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan mengakibatkan ketidakadilan yang serius kepada perayu apabila dia gagal mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama,” kata Najib.

Mahkamah Persekutuan masih belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan utama kes SRC Najib.

Najib juga sedang memohon untuk mendapatkan Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom bagi mewakilinya dalam rayuan itu.

Najib sebelum ini didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020. Sabitan dan hukumanitu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, terdapat penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan diselesaikan.

BERITA BERKAIT
POPULAR