
Petani diwajibkan mencarum dalam PERKESO mulai tahun depan. - Gambar hiasan
Petani, nelayan dan penjaja adalah antara rakyat yang diwajibkan menjadi ahli Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan membuat caruman bulanan sebanyak 20 peratus, mulai tahun depan.
Caruman itu wajib dibuat menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, sebagaimana yang dicadangkan dalam Bajet 2023 kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini (7 Oktober 2022).
Bagaimanapun, tiada kaedah bagaimana petani dan nelayan, serta rakyat yang bekerja sendiri untuk mendaftar dengan SKPS serta jumlah caruman yang hendak dibuat. Namun, mereka akan terikat dengan Mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Arahan supaya semua rakyat yang bekerja sendiri wajib mencarum dalam PERKESO itu adalah pertama kali dilakukan kerana petani, nelayan atau tukang kayu, sebelum ini tidak pernah diwajibkan mencarum.
Dalam pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang holistik, agenda perlindungan sosial akan terus diberi perhatian serius.
Katanya pada 2020, hanya segelintir pekerja ‘gig riders’ dilindungi dan setelah Kerajaan menyumbang kepada caruman, kini lebih 260 ribu dilindungi melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.
“Bagi mengurangkan bebanan golongan bekerja sendiri membayar caruman PERKESO, kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman tersebut. Ini bermakna, orang bekerja sendiri seperti penghantar makanan, petani, nelayan, penggiat seni FINAS dan penjaja hanya membayar 20 peratus sahaja.
“Tahun hadapan, inisiatif ini akan disediakan 150 juta ringgit dan diperluas kepada mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan pekerja gig sektor teknologi maklumat.
“Tahun hadapan, Kerajaan akan mula mewajibkan caruman SKSPS kepada semua sektor pekerjaan sendiri terutamanya sektor berisiko tinggi secara berperingkat. Inisiatif ini akan bermula dengan sektor pengangkutan awam dan penghantaran barangan ataupun makanan,” katanya.
Mengikut Akta 789 setiap orang bekerja sendiri hendaklah mendaftar dengan dan membayar caruman kepada Perkeso mengikut cara sebagaimana yang ditetapkan bagi tiap-tiap aktiviti pekerjaan sendiri yang dijalankan olehnya.
Mereka yang melanggar akta itu adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.