
Sebuah pesawat ringan terhempas berhampiran kediaman penduduk medan Gopeng, Ipoh, malam ini (1 Ogos 2022) mengorbankan seorang jurulatih penerbangan, manakala seorang lagi cedera parah. - Gambar FB
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan satu kemalangan melibatkan sebuah pesawat yang sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji, berdekatan medan Gopeng, Ipoh, malam ini (1 Ogos 2022).
Menurut kenyataan CAAM malam ini, pesawat ringan itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh.
“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam.
“Jenis pesawat yang terlibat adalah Piper 28-161 dengan nombor pendaftaran 9M-BAA yang dikendalikan BATS Aviation Sdn Bhd,” kata CAAM.
CAAM mengesahkan seorang juruterbang maut manakala seorang lagi cedera parah dan menerima bantuan perubatan.
“Siasatan lanjut akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” kata CAAM.
Sementara itu, polis berkata jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut dalam nahas itu, manakala mangsa yang cedera ialah Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira 8.10 malam dan siasatan awal mendapati kedua-dua jurulatih penerbangan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran.
“Mereka dipercayai menaiki pesawat jenis Piper 28 dan cuaca adalah baik ketika kejadian.
“CAAM akan membuat siasatan untuk mengetahui punca kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini tindakan lanjut.
Difahamkan, pihak syarikat penerbangan BATS Aviation sudah menghubungi keluarga mangsa terlibat bagi memaklumkan kejadian.