
Lelaki berusia 45 tahun itu dihubungi seorang wanita menerusi aplikasi 'messenger' Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Mei Ling dan mendakwa dirinya seorang doktor dari Yaman.
Seorang pesara wanita berusia 74 tahun kerugian RM52,300 apabila terpedaya dengan sendiket ‘love scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial pada Disember lalu.
Wanita itu dikatakan telah dihubungi suspek melalui Facebook dengan nama Nelson Michael Jr yang mendakwa dirinya berasal dari Amerika Syarikat (AS) namun bekerja di Miri, Sarawak dalam bidang cari gali minyak, lapor Bernama memetik kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof.
Beliau berkata sepanjang perkenalaan, mangsa tidak pernah menemui suspek dan hanya berhubung dengan lelaki tersebut menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.
“Suspek telah meminjam wang dari wanita itu dengan pelbagai alasan sebanyak tujuh kali dengan jumlah keseluruhan RM52,300 malah berjanji dengan mangsa mahu mengahwininya apabila memberi pinjam wang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, suspek tidak dapat dihubungi mangsa sejak 31 Januari lalu, iaitu selepas melakukan transaksi terakhir, malah lelaki itu turut menyekat nombor telefon wanita berkenaan, katanya.
Menurutnya, mangsa yang menyedari dirinya tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.