Pesakit jantung muda meningkat

Ramli dalam usia lewat 30-an sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hingga tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu Ramli hendak ke pejabat, dia mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar bernafas dan tiba-tiba pitam.

Apabila Ramli pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

“Ramli, anda telah mengalami serangan jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda,” terang doktor.

Kisah Ramli adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung tetapi belum lagi didiagnosis. Oleh yang demikian, mereka menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung.

Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya merupakan gejala-gejala sakit jantung.

Pendek kata, sakit jantung kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkannya dahulu.

Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang orang-orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang membunuh seperti tabiatnya sebelum ini. Wabak ini juga dikatakan menjadi semakin kerap menyerang golongan muda.

Menurut kajian Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dijalankan Perunding Kardiologi PPUM 20 peratus pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah. Hasil kajian juga menunjukkan lebih 95 peratus terdiri daripada lelaki.

Pakar Perunding Kardiologi, Dr. Zul Hilmi Yaakob memberitahu, kajian itu bertujuan membuat perbandingan antara statistik pesakit muda dan tua.

Statistik itu menunjukkan pesakit yang berumur 40 tahun ke bawah meningkat.

Kebanyakan pesakit mempunyai gaya hidup yang tidak baik termasuk aktif merokok. Pesakit juga tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.

Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana tidak menyangka ia sebenarnya sakit jantung sebab umur masih muda,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai menjalankan gaya hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.

BERITA BERKAIT
POPULAR