Pesakit Covid-19 kurang, HTAR pulangkan 80 mesin oksigen

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang memulangkan 80 alat bantuan pernafasan kepada Pusat Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS 2.0, setelah pesakit Covid-19 yang memerlukannya semakin berkurangan.

“Pihak HTAR memutuskan untuk memulangkan semula peralatan tersebut memandangkan jumlah pesakit Covid-19 di hospital ini semakin menurun,” kata kenyataan hospital itu.

Sebelum ini, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi memberitahu jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di hospital itu berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lepas.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 400 kes harian bagi pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan, namun jumlahnya menurun kepada sekitar 170 pesakit sejak kebelakangan ini.

“Pesakit Covid-19 yang kini menerima rawatan di hospital berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima dan akan menyusun semula keperluan peralatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.

“Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih,” kata kenyataan HTAR itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR