Pesakit Covid-19 kuarantin kendiri kena awasi ‘happy hypoxia’

Kementerian Kesihatan (KKM) sekali lagi mengingatkan orang ramai dan sesetengah pesakit Covid-19 yang mempunyai kadar oksigen rendah di dalam badan tetapi tidak mereka sedari, dikenali sebagai ‘happy hypoxia’, yang menyebabkan mereka sukar bernafas.

Dalam satu kenyataan malam tadi KKM menjelaskan terdapat tiga gejala yang kemungkinan menunjukkan paras oksigen yang rendah di dalam sistem darah pesakit berkenaan.

Gejala berkenaan ialah kelesuan yang teruk; banyak berpeluh walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal; dan perubahan warna bibir atau kulit menjadi kebiruan.

“Pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah perlu segera ke hospital sekiranya mengalami kesukaran bernafas atau gejala yang berkaitan happy hypoxia atau bacaan pulse oximeter menjadi rendah,” kata kenyataan itu.

KKM juga meminta mereka menghubungi talian kecemasan 999 untuk ambulans atau menggunakan kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Peneman atau pemandu perlu memakai perlindungan berganda – pelitup muka berganda dan ‘face shield’ – serta sarung tangan ketika membawa pesakit terbabit.

Menurut laman web KKM, Happy Hypoxia berpunca daripada pelbagai penyakit terutama paru-paru dan jantung yang menyebabkan kerosakan otak, paru-paru dan organ dalaman badan sekali gus membawa maut jika tidak dirawat segera.

Keadaan itu berlaku apabila individu mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan kurang daripada 95 peratus. Tahap pernafasan pesakit Happy Hypoxia boleh menjangkau sehingga 40 hingga 50 kali seminit berbanding kadar pernafasan normal antara 12 hingga 20 kali seminit.

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen apa yang membimbangkan perkara sebaliknya berlaku kepada pesakit Covid-19 yang mengalami Hypoxia apabila tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas walaupun tahap oksigen dalam badan rendah.

“Mereka kelihatan tenang, normal dan ceria seperti biasa walaupun tahap oksigen mereka rendah maka sebab itulah golongan pesakit Covid-19 ini dipanggil ‘Happy Hypoxic’.

“Ini menyebabkan kekeliruan apabila doktor sukar mengenal pasti pesakit Covid-19 yang alami Hypoxia kerana otot pernafasan mereka tidak menunjukkan tanda sukar bernafas.

“Happy Hypoxia ini boleh menjadi pembunuh senyap kerana apabila masalah kekurangan oksigen ini tidak dapat dikesan dan dirawat lebih awal, pesakit Covid-19 boleh meninggal dunia,” katanya.

Dr Nurul berkata setiap isi rumah digalakkan memiliki alat mengesan kadar oksigen dalam darah, ‘Pulse Oximeter’ kerana pengesanan awal gejala ini boleh mengelakkan kematian dalam kalangan pesakit Covid-19.

“Bagi pesakit Covid-19, Happy Hypoxia ini boleh berlaku apabila pesakit berada pada kategori empat dan lima iaitu tahap virus mula menunjukkan kesannya di paru-paru.

“Sekiranya pesakit Covid-19 ini berada di hospital, maka Hypoxia ini boleh dikesan awal kerana tahap oksigen pesakit sentiasa dipantau setiap empat jam.

“Jadi, bagi mencegah kematian disebabkan fenomena ‘Happy Hypoxia’ ini, pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah digalakkan membeli ‘Pulse Oximeter’ di farmasi bagi memantau tahap oksigen mereka & segeralah ke hospital jika tahap bacaan oksigen kurang daripada 95%,” katanya.

Gejala ini kebanyakannya menyerang pesakit Covid-19 dalam kalangan individu muda dan dilaporkan berlaku di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, India dan Indonesia.

BERITA BERKAIT
POPULAR