Peruntukan RM300,000 bakul makanan kepada Ahli Parlimen diberi hari ini

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu masyarakat yang menyertai program vaksinasi baru-baru ini.

Kerajaan hari ini mula menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, bagi menjayakan Program Bantuan Bakul Makanan.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi, peruntukan akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, dan Majlis Perbandaran Sandakan.

“Peruntukan ini (RM300,000) telah disalurkan kepada semua Ahli Parlimen bermula hari ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, termasuk di blok pembangkang, bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Susulan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri pada 28 Jun 2021, program Bantuan Bakul Makanan sedia ada akan diteruskan dan akan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan,” kata kenyataan itu.

Peruntukan itu bagi memperkasakan program bantuan berkenaan selain memastikan pelaksanaannya lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasar di seluruh negara.

POPULAR