
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pertukaran besar-besaran membabitkan 61 pegawai kanannya, termasuk pelantikan tujuh pengarah baharu jabatan berkuat kuasa 1 Julai depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara PDRM, pertukaran itu membabitkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya yang dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas.
Turut terbabit dalam pertukaran itu ialah Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din dipindahkan sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), menggantikan Datuk Zainal Abidin Kassim yang dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Kenyataan itu juga menyebut Komisioner Polis (CP) Pentadbiran Jabatan Pengurusan Datuk Zaini Jass dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman bagi mengisi jawatan dikosongkan Ramli.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman; dan Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) Datuk Azri Ahmad sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd Kamarudin Md Din menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) Datuk Azisman Alias masih kekal memegang jawatan itu namun beliau memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Timbalan Pengarah JKDNKA (Pasukan Gerakan Khas) Datuk Mastor Mohd Ariff dilantik sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) dengan memangku pangkat CP, manakala Setiausaha PDRM Datuk Ramli Mohamed Yoosuf sebagai Ketua Polis Pahang juga memangku pangkat CP.
Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Kamarul Zaman Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Kedah dengan memangku pangkat CP, dan Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa sebagai Ketua Polis Terengganu dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).
Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan dilantik sebagai Setiausaha PDRM dengan memangku pangkat DCP.
Berikut adalah pertukaran yang membabitkan pegawai kanan polis berkuat kuasa 1 Julai depan.