Pertuduhan terhadap Ke Ting cacat, tak ikut undang-undang: Pembela

March 31, 2023 · Isu semasa

Pasukan pembelaan seorang kerani, Sam Ke Ting yang merayu terhadap hukuman penjara enam tahun dijatuhkan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, menegaskan bahawa tertuduh disabitkan atas pendakwaan cacat yang membawa kepada hukuman tidak mengikut undang-undang dan tidak boleh dikekalkan.

Peguam Ke Ting, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berkata ada tiga kesalahan berbeza mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, kesalahan terbabit ialah memandu kenderaan secara melulu atau memandu kenderaan dengan laju atau memandu kenderaan dengan mengambil kira semua faktor termasuk keadaan trafik serta jalan yang berbahaya.

“Apa yang dilakukan pendakwa raya dalam kes ini ialah menggabungkan kesalahan pemanduan melulu dan bahaya. Ini adalah salah.

“Sepatutnya hanya satu daripada kesalahan itu mengikut undang-undang. Dengan hormatnya dihujahkan bahawa perayu sememangnya diperdayakan (mengenai pertuduhan). Perayu diperdayakan di kedua-dua peringkat iaitu pada akhir kes prima facie dan pembelaan.

“Berdasarkan hujahan terbabit, kami berharap supaya sabitan dan hukuman terhadap anak guam diketepikan,” katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, hari ini (31 Mac 2023) menurut BH.

Panel itu diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.

Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak, pada 2017.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar, turut memerintahkan Ke Ting, 27, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.

Abu Bakar dalam penghakimannya, berkata mahkamah bicara sebelum ini terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara tidak bersumpah dan hanya bersifat penafian semata-mata.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin,16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, mahu memberi penekanan terhadap kesilapan dibuat Mahkamah Majistret yang membebaskan tertuduh.

“Mahkamah Rayuan boleh menilai semula bukti dan tengok balik (kes ini) betul atau tidak. Fakta semua ada dan saksi nak cakap apa. Dakwaan saksi bahawa remaja itu duduk di tengah jalan adalah salah, kita akan buktikan,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Amir Zaki yang memaklumkan memerlukan dua jam untuk berhujah mengenai kes berkenaan menyebabkan panel hakim menangguhkan prosiding rayuan ke 11 April depan.

Basikal lajak: Rayuan terakhir Sam Ke Ting, apa yang perlu diketahui

Berita berkaitan
Bekas ADUN DAP disabit kes rogol lantik Hisyam Teh ketuai pasukan pembelaan
December 1, 2023· Isu semasa
Prosiding rayuan enam lelaki bunuh Kevin Morais ditangguh
November 7, 2023· Isu semasa
1 Julai tahun depan pendengaran rayuan Zuraida diarah bayar perintah RM10 juta
October 11, 2023· Politik
Hakim tarik diri dengar rayuan kes Najib saman Tommy Thomas
October 4, 2023· Isu semasa
Popular
Bekas Setpol Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi SSM baharu
March 13, 2023
Jangan cabar umat Islam: Ridhuan Tee beri amaran isu ziarah gereja
March 16, 2023
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023
SPRM masih cari jutaan ringgit kes pembantu menteri DAP: Laporan
April 18, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok