Persoalan undang-undang siasatan ke atas Mohd Nazlan didengar di Mahkamah Persekutuan

July 19, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan undang-undang berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ke Mahkamah Persekutuan.

Dua persoalan itu ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan, dan sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, lapor Bernama.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata Mahkamah Persekutuan adalah forum tepat dan sesuai untuk mendengar dan memutuskan persoalan undang-undang yang boleh memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.

“Adalah jelas bahawa siasatan SPRM ke atas seorang hakim yang berkhidmat telah dilihat oleh pemohon dan banyak pihak dalam kalangan masyarakat sebagai satu pelanggaran terhadap prinsip pengasingan kuasa.

“Siasatan itu juga telah menimbulkan tanggapan bahawa badan kehakiman sedang diserang dan ini mempunyai kesan dari segi pesepsi dan keyakinan awam terhadap badan itu.

“Mahkamah mengambil maklum fakta mengenai perbezaan pendapat dalam isu ini dan tidak boleh tidak bersetuju bahawa perkara ini sememangnya amat penting kerana ia memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan ini tanpa sebarang perintah berkaitan kos,” kata Noorin yang menetapkan 19 Okt ini sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya.

Persoalan undang-undang itu dinyatakan oleh Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dalam saman pemula mereka terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan oleh SPRM terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Menerusi saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lepas, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan, atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat selain memohon deklarasi siasatan terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Ketiga-tiga plaintif menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman pemula berkata media melaporkan bahawa SPRM telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berkaitan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya dan siasatan ini kononnya dimulakan berikutan laporan yang dibuat kepada SPRM.

Mereka mendakwa siasatan oleh SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Baru-baru ini, Mohd Nazlan, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Berita berkaitan
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
Semua pihak perlu peka isu buli
December 15, 2021
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
RM86.7 bilion dibelanja pada suku pertama: Kementerian Kewangan
July 27, 2022
Potong usus jadi pilihan VIP: Untuk cantik atau sihat?
August 8, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
4 jam lalu · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
4 jam lalu · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok