Persefahaman rentas parti satu tawaran berjiwa besar: PINTAR

Seramai 222 pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) yang menganggotai Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menyokong inisiatif diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlapang dada membuka kerjasama kepada semua parti politik bagi menjamin kestabilan negara.

PINTAR menyifatkan persefahaman rentas parti itu adalah kenyataan daripada seorang pemimpin berjiwa besar yang memikirkan soal kemajuan negara, bukan untuk menjaga kepentingan peribadi.

Sehubungan itu, Presiden PINTAR Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor menggesa semua pihak menggunakan peluang sikap keterbukaan kerajaan untuk memperteguhkan kembali pentadbiran negara berasaskan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

“Gunakanlah peluang keterbukaan pihak kerajaan ini untuk memperteguhkan kembali pentadbiran negara berasaskan sistem demokrasi Raja Berpelembagaan, mengangkat kedudukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya serta menyemarakkan Islam sebagai teras kepada perpaduan.

“Sehubungan itu, PINTAR menggesa para pemimpin parti-parti politik untuk kembali memberikan tumpuan kepada kemaslahatan rakyat, bukannya berterusan melakukan gerakan politik untuk merampas kuasa, mengganti Perdana Menteri dan seumpamanya,” katanya dalam kenyataan mengulas pengumuman Perdana Menteri hari ini.

Menurutnya komitmen Perdana Menteri yang dimaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menentukan keabsahannya melalui undi percaya pada sidang Parlimen pada September nanti sewajarnya dijadikan medan untuk menentukan keabsahan sokongan tersebut.

Namun, Dr Mohd Roslan PINTAR kecewa kerana terdapat pihak-pihak yang terus sahaja mendesak serta memberikan tekanan politik kepada kerajaan.

“Dalam keadaan semasa yang sedang berlaku sekarang, boleh dikatakan setiap hari rakyat akan mendengar mengenai tindakan-tindakan politik yang ingin dilakukan terutama oleh pihak yang cuba untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

“Pada hemat kami, ia bukanlah satu perkara yang baik untuk negara di mana kita melihat ia memberikan kesan kepada kestabilan dan juga usaha-usaha yang sedang berjalan untuk menangani pandemic covid-19.

“Rakyat sudah muak dengan gelagat sesetengah pemimpin politik ini yang saban hari memberi fokus perebutan kuasa, bukannya untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan, yang hilang pekerjaan dan ada yang tidak cukup makanan disebabkan kehilangan punca pendapatan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata PINTAR juga mendapati titah Raja-Raja Melayu menzahirkan keprihatinan dan menyeru supaya menjaga kestabilan dengan memberi fokus kepada inisiatif menghadapi pandemik Covid-19.

“PINTAR ingin menegaskan supaya rakyat menolak pemimpin parti-parti politik yang suka menangguk di air keruh yang mana ia boleh menggadaikan nyawa rakyat tanpa menghiraukan bahaya penyebaran covid-19. Pihak yang memberikan risiko kepada rakyat ini perlu ditolak.

“Berdasarkan ini, PINTAR juga ingin merayu KBDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk campurtangan bagi menyekat pihak-pihak yang sentiasa ingin mendapatkan kuasa.

“Ada baiknya pihak istana bertindak selaku pendamai dengan menggalakkan perundingan untuk kestabilan kerajaan sehinggalah satu tempoh kita dapat menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dengan melakukan proses PRU-15,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR