Persatuan perubatan tak benarkan doktor mogok

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengulangi pendiriannya, tidak membenarkan sebarang tunjuk perasaan dianjurkan membabitkan pertugas kesihatan, terutama pada saat negara sedang memerangi wabak Covid-19.

Presidennya, Datuk Dr Subramaniam Muniandy mengingatkan pengamal perubatan supaya bertenang dan memberi keutamaan terhadap tanggungjawab merawat pesakit.

“Kami telah menjelaskan pendirian kami. MMA tidak membenarkan mogok. Kes baru Covid-19 harian negara (hampir) mencapai 16,000 dan kami telah memberi amaran, ia (kes) mungkin terus meningkat.

“Sistem penjagaan kesihatan sangat tegang dan memerlukan sokongan kakitangan. Rakan sekerja kami di sektor kesihatan awam telah memberitahu masyarakat bahawa sistem penjagaan kesihatan sangat tegang dan memerlukan sokongan kakitangan.

“Sebagai profesional perubatan, rawatan pesakit harus menjadi keutamaan,” katanya mengulas mengenai ‘Hartal Doktor Kontrak’ yang dijadualkan di seluruh negara esok.

Tunjuk perasaan itu antara lain mendesak supaya doktor kontrak diserapkan ke jawatan tetap. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘hartal’ yang kedua ialah pemogokan umum sebagai bantahan terhadap sesuatu.

Wakil Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Baraka berkata, sekurang-kurangnya 5,000 doktor kontrak akan mengadakan protes pada Isnin bermula jam 11 pagi dan tidak akan kembali bertugas sepanjang hari .

Menurut laporan, semua doktor kontrak akan bergerak keluar secara beramai-ramai dari pusat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan di seluruh negara, mengikut kesepakatan yang telah dipersetujui secara bersama.

Kenyataan Hartal Doktor Kontrak menjelaskan pergerakan itu dilakukan berdasarkan tiga keadaan iaitu kategori tidak kritikal yang menuntut doktor kontrak berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di lobi hospital masing-masing dan bergerak keluar secara besar-besaran melalui pintu utama.

Sebelum keluar, diminta (doktor kontrak) untuk passover perkara penting kepada pegawai perubatan yang masih ada di dalam wad untuk memastikan tiada pesakit yang terjejas rawatam. Digalakkan untuk membawa bersama plakad dan merakam video perarakan untuk dimuat naik ke media sosial.

BERITA BERKAIT
POPULAR