Persatuan perniagaan Malaysia tolak PKP penuh

Persatuan perniagaan dan industri Malaysia menolak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bagi menyekat penularan dan jangkitan Covid-19. - Gambar hiasan

Persatuan perniagaan Malaysia mendakwa mereka akan lebih menderita dari segi kewangan, sementara dua juta pekerja akan hilang pekerjaan, jika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sebagaimana pada Mac tahun lalu.

Persatuan itu juga mendakwa sudah melakukan kaji selidik yang mendapati PKP penuh akan memberi kesan ketara kepada pemulihan ekonomi kerana kira-kira 40 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah menderita dan 37.7 peratus akan menutup operasi mereka selamanya.

Namun, semua persatuan berkenaan sebaliknya menggesa prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dilaksanakan bagi membendung gelombang terbaru Covid-19.

Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang yang memetik kaji selidik berkata jika langkah yang sama diambil ketika PKP 1.0 dilaksanakan bagi PKP 3.0, lebih daripada 40 peratus PKS akan mengalami masalah kewangan yang teruk dan dua juta kehilangan pekerjaan.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan melaksanakan PKP penuh sebulan jika mahu melihat penularan dan jangkitan Covid-19 dikekang, tetapi semua kos hendaklah ditanggung oleh pemerintah.

Presiden Kebangsaan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Datuk Tan Cheng Kiat pula berkata pengalaman dan pelajaran daripada PKP 1.0 menunjukkan walaupun keluk semakin mereda, kehancuran terhadap ekonomi hampir tidak dapat dipulihkan.

Memetik laporan Bernama, beliau dilaporkan mendakwa pelaksanaan SOP yang tidak jelas dan penguatkuasaan secara sembarangan telah menjejaskan perniagaan.

Semalam, Malaysia mencatatkan jumlah harian tertinggi kes iaitu 6,075, melonjakkan jumlah kes aktif kepada 47,340, sekali gus menyarankan sekatan pergerakan sepenuhnya di dalam negara, terutama di Selangor.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA), Peter Lim pula mendakwa penutupan selama empat minggu seperti yang dialami ketika PKP 1.0 tahun lalu menyebabkan kerugian sebanyak RM1.15 bilion daripada penjualan eksport sahaja.

“Oleh itu, kami tidak boleh berdepan dengan satu lagi sekatan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Industri berkenaan pada masa ini menggajikan kira-kira 250,000 pekerja, termasuk profesional seperti jurutera, pereka dan penganalisis data.

“Kira-kira 70 peratus ahli kami terdiri daripada PKS dan lebih daripada 30 peratus adalah pengeksport.

“Pengeksport kami perlu meneruskan operasi kerana akibat daripada penutupan operasi sepenuhnya akan memberi kesan yang sangat buruk kepada perniagaan dan ekonomi. Banyak pengeluar alat ganti automotif bergantung pada perniagaan eksport, ” jelas beliau.

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) turut mendesak kerajaan untuk tidak melaksanakan sebarang bentuk penutupan secara menyeluruh, baik di seluruh negara mahupun di negeri-negeri dengan kadar jangkitan tinggi seperti Selangor.

“Teruskan dengan model PKP 2.0 untuk membolehkan sektor ekonomi beroperasi tetapi terapkan SOP yang lebih ketat untuk menurunkan kadar jangkitan dengan cepat,” kata presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai.

Beliau turut mencadangkan sekatan yang lebih ketat terhadap mobiliti dan arahan kekal di rumah; penjadualan semula giliran kerja di kilang dengan mengurangkan pekerja beroperasi berdasarkan penilaian individu syarikat; dan amalan kerja dari rumah (WFH) sepenuhnya untuk syarikat yang mampu dan mempunyai kemudahan sokongan yang diperlukan untuk berbuat demikian.

“Teruskan dengan bantuan yang diperlukan termasuk bantuan kewangan seperti moratorium pinjaman, program subsidi upah, bantuan pembiayaan, pengurangan kos perniagaan seperti kos utiliti, sumbangan berkanun, kadar pembiayaan dan lain-lain untuk membantu industri yang terjejas teruk oleh PKP 3.0 dan Covid-19,” katanya.

Seperti FMM, Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) juga meminta kerajaan mempercepat proses vaksinasi untuk masyarakat umum dan pelaksanaan program imunisasi nasional untuk sektor ekonomi mencapai imuniti kawanan.

CICM mencadangkan syarikat yang berintensifkan tenaga kerja dan pekerjaan dalam kurang daripada jarak selamat satu meter harus melakukan ujian swab ke atas pekerja masing-masing setiap dua minggu sebelum membenarkan mereka memasuki premis.

Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) sebaliknya menyatakan pihaknya berharap kerajaan memberi keutamaan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam ekosistem hospital untuk vaksinasi, termasuk wakil klinikal dan juruteknik dalam lingkungan tenaga kerja industri peranti perubatan dan mereka yang penting dalam rantaian bekalan pembuatan alat peranti perubatan.

AMMI percaya bahawa dengan kerjasama yang kuat antara kerajaan dan sektor swasta, negara akan dapat bertahan dalam mengharungi krisis ini.

POPULAR