Persatuan jamin kenaikan tambang bas sekolah tak bebankan ibu bapa

May 29, 2022 · Isu semasa

Tambang bas sekolah yang dijangka dinaikkan dalam masa terdekat tidak akan membebankan ibu bapa, kata Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat.

Menurutnya berdasarkan rekod sedia ada tambang bas sekolah pada masa ini adalah antara RM50, contohnya di Keramat, manakala bagi kawasan elit seperti Damansara dan Petaling Jaya boleh mencecah RM300 sebulan

Katanya jumlah peningkatan tambang bas sekolah adalah tidak sama kerana nilainya berpandukan mengikut kawasan dan status masyarakat setempat setelah pada 1 Jan 2015 kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah menyebabkan jumlahnya terpulang kepada pasaran.

“Untuk kenaikan tambang ini, pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada pengusaha yang biasanya semua itu bergantung terhadap kajian semula penyata untung rugi, juga kata sepakat operator bas sekolah bersama ibu bapa,” katanya menurut laporan Bernama.

Terdahulu, media melaporkan bahawa ibu bapa perlu bersiap sedia dengan kenaikan tambang bas sekolah di sekitar Lembah Klang yang dijangka bermula minggu depan atau Julai, berikutan kos penyelenggaraan serta alat ganti kenderaan meningkat secara mendadak.

Mengulas lanjut, Amali Munif berkata kos kenaikan tambang itu melibatkan kiraan 44 kali pelajar naik bas dalam sebulan iaitu 22 hari maksimum dengan dua kali naik sehari dan mengikut kadar itu, ia dikira masih di tahap tambang yang masih rendah.

Pengusaha bas sekolah sekitar Damansara, Mohd Zaid Zainuddin, 50, berkata kenaikan tambang secara purata RM15 hingga RM25 sebulan boleh dipertimbangkan memandangkan sudah ramai pengusaha bas sekolah yang gulung tikar dan beralih ke industri pekerjaan lain.

“Setakat ini kami sudah memberikan gambaran awal kepada ibu bapa. Perbincangan mengenai kenaikan tambang juga dilakukan supaya mereka tidak terkejut dengan perubahan ini. Ada dalam kalangan mereka memahami serta bersetuju dengan usaha ini, cuma meminta supaya kadar kenaikan tidak terlalu ketara (cadangan RM10 hingga RM15 sahaja kenaikan),” katanya.

Sementara itu bagi pengusaha van sekolah, Shahrul Aidit Ahmad, 48, yang menjalankan operasi mengambil anak-anak sekolah menggunakan van di sekitar Kelana Jaya, Selangor selama 20 tahun berkata tindakan itu wajar dilakukan berikutan kos penyelenggaraan dan servis kenderaan terlibat sudah meningkat berganda selepas pandemik baru-baru ini.

“Mahu atau tidak, pada masa ini kita berhadapan dengan semua barang naik harga termasuk juga kos penyelengaraan bas dan alat ganti kenderaan import terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya pada masa sekarang, purata tambang adalah mengikut jarak dari rumah ke sekolah lebih kurang 2 kilometer (km) hingga 3km dengan nilai RM50 untuk sehala bagi setiap bulan, dengan kata lain kira-kira RM100 sebulan bagi seorang pelajar untuk pergi dan balik.

Prihatin terhadap permasalahan tersebut, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan perlu mempunyai formulasi dengan langkah memberikan subsidi kepada pengusaha bas sekolah untuk mengurangkan impak ke atas kenaikan tambang dalam pelbagai aspek.

“Kaedah memberikan subsidi tersebut boleh dilakukan dengan pelbagai cara antaranya tuntutan boleh dibuat daripada kerajaan atau memberikan faedah lain seperti simpanan premium atau kredit dapat ditukar kepada perkara lain yang sesuai untuk kegunaan pengusaha bas sekolah,” katanya.

Kemelut kenaikan tambang bas sekolah juga mendapat perhatian Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan yang mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling supaya dapat memastikan jumlah kenaikan tambang tidak dibuat sesuka hati sehingga memberi bebanan kepada ibu bapa.

“Kerajaan juga perlulah memikirkan mengenai subsidi terhadap kenderaan yang digunakan terutama dalam kalangan pengguna tetap bas sekolah yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan isi rumah B40 dan M40,” katanya.

Berita berkaitan
Zahid bidas Rafizi selepas sindir UMNO akan cadang Lembaga Kambing pula
June 26, 2022· Politik
RON97 naik 1 sen, RON95 dan diesel kekal
June 22, 2022· Isu semasa
15 warga Malaysia terlibat kemalangan di Arab Saudi
June 10, 2022· Dunia
Jangkitan HFMD di Johor meningkat sebanyak 5,234 kes
June 6, 2022· Isu semasa
Popular
Nissan Skyline R32 dipamer di Art of Speed dirampas polis
July 3, 2022
Pemuda UMNO kritik penubuhan Pasukan Khas Jihad diumum Ismail Sabri
July 3, 2022
Kurang sikit makan telur, kata Pengarah KPDNHEP Melaka
July 2, 2022
Kerajaan ambil tindakan ketirisan minyak masak ke negara jiran
July 3, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Daripada berhimpun, baik jumpa saya cari jalan turun harga barang: Annuar
8 jam lalu · Isu semasa
Jika harga barang tak turun, PM tak tolak pertimbang kenaikan bantuan tunai
8 jam lalu · Isu semasa
Nissan Skyline R32 dipamer di Art of Speed dirampas polis
10 jam lalu · Isu semasa
Pemuda UMNO kritik penubuhan Pasukan Khas Jihad diumum Ismail Sabri
12 jam lalu · Isu semasa
Kompleks hiburan sukan konsep digital RM6 juta bakal dibina di Ketereh
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tak serius, kerajaan ambil lewa isu harga barang, kata pemimpin Amanah
July 1, 2022
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
July 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok