
Pegawai JIM ditempatkan di kaunter pasport.
Peningkatan mendadak permohonan dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) sejak pembukaan sempadan negara mulai 1 April lalu, antara punca kesesakan di Jabatan Imigresen (JIM).
Sehubungan itu, waktu operasi di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter JIM diperpanjangkan hingga 10 malam, manakala enam lagi dilanjutkan hingga 6 petang mulai Rabu ini (11 Mei).
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya mengesan peningkatan pengeluaran PMA sebanyak 40 peratus berbanding sebelum pembukaan sempadan negara.
“Berdasarkan maklum balas diterima, kesesakan itu berpunca daripada isu kelewatan menerima notifikasi melalui e-mel selepas permohonan, masalah untuk memuat naik gambar dan masalah cap jari.
“Selain itu, pelanggan juga menghadapi masalah tidak mendapat nombor giliran dan terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama,” katanya pada sidang media hari ini.
Memetik Bernama beliau berkata pelanjutan waktu operasi itu adalah antara langkah penambahbaikan JIM bagi mengatasi kesulitan permohonan serta pembaharuan PMA, selain akan menambah jumlah petugas untuk mengendalikan proses pasport.
Menurutnya enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang.
Semua pejabat pengeluaran pasport di Semenanjung Malaysia juga akan beroperasi pada hari Sabtu dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari mulai 14 Mei, katanya.
Beliau berkata semua kaunter Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung akan dibuka hingga 10 malam.
Khairul Dzaimee berkata terdapat peningkatan kira-kira 40 peratus dalam pengeluaran PMA iaitu sejumlah 165,449 dalam tempoh 1 April hingga 6 Mei lepas berbanding 111,931 pada Mac lepas.
Beliau berkata pihaknya juga telah menyediakan kaunter khas untuk bakal jemaah haji yang telah mendapat surat tawaran bagi memudahkan urusan permohonan PMA golongan terbabit.
“Mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada TH (Tabung Haji),” katanya.
Susulan kesesakan dalam Sistem Temujanji Online (STO), Khairul Dzaimee berkata JIM memutuskan untuk menyeragamkan pemansuhan STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di seluruh negara mulai Rabu ini.
Sebelum ini, dilaporkan Jabatan Imigresen akan memansuhkan STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di luar Lembah Klang mulai 9 Mei, manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka pula mulai 16 Mei.