Permohonan moratorium enam bulan dibuka esok, kata Bank Negara

July 6, 2021 · Isu semasa

Peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro yang terjejas akibat Covid-19 boleh mula memohon moratorium selama enam bulan daripada bank mulai esok, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS – tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan.

“Kelulusan akan diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

“Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

“Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan. Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi 28 Jun lalu memaklumkan kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak bank telah melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar.

Katanya kemudahan moratorium enam bulan diberikan kepada semua peminjam individu dari golongan B40, M40 atau T20, usahawan mikro dan PKS.

Pada masa sama BNM sekali lagi menjelaskan institusi perbankan tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan atau apa-apa faedah dan keuntungan penalti, sepanjang tempoh bantuan moratorium.

Bagaimanapun BNM berkata pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman seperti moratorium, bakal menyebabkan kos pinjaman meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

“Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

“Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, BNM mengarahkan institusi perbankan memberi penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

Bank pusat juga menegaskan Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.

Katanya, industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan.

“Dalam hal ini, BNM akan memantau rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan.

“Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka.

“Peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman ini dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM,” katanya.

BNM juga menasihati peminjam supaya mendapatkan maklumat berkaitan sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan.

“Bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021. Pada masa permohonan dibuat, peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap/penggulungan (bankruptcy/winding up).

“Peminjam yang sudah pun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program terbabit juga boleh memohon moratorium ini,” katanya.

Selain itu, BNM berkata, peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma (services.akpk.org.my).

“PKS termasuk perusahaan mikro juga boleh memohon bantuan melalui saluran khas SME Help Desk AKPK melalui akpk.org.my/smehelpdesk.

“Kaunter khidmat nasihat secara maya ini memberikan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu pemohon mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Berita berkaitan
Cukai baharu akan menekan PKS, kumpulan dakwa kerajaan tidak berunding
October 14, 2023· Isu semasa
Unit Pemusnah Bom tak kesan bahan meragukan di Bank Negara: Polis
September 20, 2023· Isu semasa
Ekonomi negara berkembang paling perlahan sejak 2021, hanya 2.9% pada suku kedua
August 18, 2023· Isu semasa
Rumah lelong naik 20% : laporan
July 11, 2023· Isu semasa
Popular
Semua pihak perlu peka isu buli
December 15, 2021
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Pihak berkuasa mula siasat kes helikopter jatuh di Bidor
September 13, 2022
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
7 jam lalu · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
7 jam lalu · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok