Permohonan masukkan bukti baharu dalam rayuan kes SRC Najib ditolak lagi

Datuk Seri Najib Razak sekali lagi gagal dalam permohonan untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes sabitan hukumannya melibatkan dana SRC International Sdn Bhd hari ini.

Keputusan menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu dibuat di Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam lima panel hakim yang memutuskan tiada kekhilafan dibuat oleh Mahkamah Rayuan ketika menolak permohonan tersebut sebelum ini.

“Kami mendapati Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul, tiada sebarang kekhilafan dan tiada sebaranv kesalahan yang membolehkan ia dirayu,” kata Hakim Tengku Maimun.

Selain itu, panel terbabit juga menyatakan, hak Najib untuk didengar tidak dinafikan sebaliknya barisan peguam bela Ahli Parlimen Pekan itu telah diberikan masa secukupnya untuk berhujah di Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah Rayuan telah mengunakan budi bicaranya dengan betul. Hak perayu (Najib) tidak diprejudiskan dan telah diberikan haknya untuk didengar,” jelas Hakim Tengku Maimun semasa membacakan keputusan tersebut.

Beliau bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh.

Bukti baharu yang ingin dimasukkan Najib dalam rayuannya akhirnya antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Pada 7 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan tersebut atas alasan atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

BERITA BERKAIT
POPULAR