
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan tuduhan penyelewengan RM2.8 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 12 Ogos untuk mendengar permohonan kerajaan untuk membatalkan saman sivil RM1.9 juta oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap kerajaan dan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas.
Najib menyaman kedua-dua pihak atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya dalam kes jenayah yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dengan mendakwa Thomas dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu terlibat dalam “pendakwaan berniat jahat”, dan pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang dan terancang.
Theedgemarket melaporkan peguam Najib bagi kes itu Yudistra Darma Dorai, mengesahkan perkara berkenaan.
Perkara itu akan dibicarakan secara fizikal di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache.
Saman itu, yang difailkan pada Oktober 2021, berkisar kira-kira 30 pertuduhan jenayah terhadap Ahli Parlimen Pekan itu dalam empat perbicaraan.
Dalam afidavit sokongannya yang difailkan tahun lepas, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Akram Gharib berkata permohonan Najib adalah menyalahgunakan proses mahkamah yang dilakukan terhadap pertuduhan jenayah yang dikemukakan terhadapnya.
Ahmad Akram menambah bahawa sekiranya perkara sivil ini diteruskan, ia boleh mengganggu kes jenayah yang sedang berjalan terhadap Najib.
“(Najib) boleh mengemukakan keterangan dan bukti berhubung penyelewengan, salah guna kuasa dengan niat jahat dalam perbicaraan jenayah terhadapnya, yang mempunyai bidang kuasa dan pembuktian berbeza,” katanya.
Dilaporkan Thomas, dalam afidavit sokongannya, mendakwa Najib memfailkan saman itu atas sebab politik, iaitu untuk pilihan raya negeri Melaka yang berlangsung bulan itu dan pilihan raya umum akan datang, yang mesti diadakan pada pertengahan 2023.
Bekas Peguam Negara juga memfailkan untuk membatalkan saman berkenaan.