Permohonan keluar RM10,000 dibuka mulai 1 April: KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pencarum yang mahu memohon pengeluaran RM10,000 seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh melakukannya mulai
1 April nanti.

Pencarum boleh memohon pengeluaran wang simpanan mereka sehingga tempoh hujung bulan depan.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April 2022.

“Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, selain perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.

“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Kerajaan hari ini membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Ismail Sabri, berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

“Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR