Perkenal skim insurans bersasar bencana banjir: Bersatu

Skim insurans bencana banjir serta perlindungan untuk kebakaran boleh diperkenalkan kerajaan dalam subsidi bersasar untuk membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat bencana alam itu, kata Bersatu.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata langkah memperkenalkan subsidi bersasar tersebut akan dapat membantu meringankan beban orang ramai yang menjadi mangsa banjir akibat kemusnahan harta benda yang dialami mereka.

Selain itu, ia akan memberi perlindungan kewangan kepada mangsa banjir dan kerajaan juga boleh memperluaskan program Baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan sama dan kumpulan sasar berkenaan.

“Setahu saya, memang ada syarikat insurans dan takaful menawarkan perlindungan untuk banjir serta kebakaran, namun kesedaran dalam kalangan rakyat masih rendah.

“Selain itu, ramai juga tidak mampu untuk membelinya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Wan Saiful turut kongsikan hasil kaji selidik Zurich Malaysia yang mendapati 74 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai perlindungan insurans untuk banjir, manakala 59 peratus tiada insurans kebakaran.

Beliau sekali gus menyifatkan peratusan itu sebagai amat tinggi dan perlu ditangani.

“Saya dimaklumkan ada skim perlindungan banjir berharga kurang RM90 setahun untuk pakej asas. Mungkin kerajaan boleh memberi subsidi RM50 secara ‘sekali bayar’ dalam bentuk baucar sebagai galakan, atau memperluaskan Baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan ini.

“Syarikat insurans pula mestilah bersaing dalam pasaran terbuka untuk memberi harga dan perlindungan paling kompetitif kepada rakyat.

“Jangan pula ini dijadikan peluang untuk mewujudkan monopoli,” katanya.

Beliau menjelaskan, saranan pemberian subsidi itu bertujuan membantu golongan tidak berkemampuan, dan sebagai mekanisme mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan insurans serta takaful.

“Saya sedar ini tidak akan dapat membantu semua yang terkesan sekarang.

“Namun paling tidak pun, ia akan dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung jika bencana berlaku lagi pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan perasaan bersyukur atas pelbagai bantuan kepada mangsa banjir ketika ini yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BERITA BERKAIT
POPULAR