Perkara 10 perlu dipinda untuk luluskan RUU Anti Lompat Parti: Annuar

Kerajaan yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Isnin ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata sokongan tersebut sangat penting bagi membolehkan pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dibuat selepas itu.

“Isunya selagi Perlembagaan tidak dipinda, tak boleh buat (pembentangan rang undang-undang) sebab undang-undang kata mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan automatik akan jadi batal dan tidak sah, jadi kena pinda dulu (Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan).

“Pinda bagi ada klausa untuk kecualikan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan… bagi membolehkan buat Akta Anti Lompat Parti ini,” katanya lapor Bernama.

Annuar ditemui semasa Majlis Iftar Menteri Komunikasi dan Multimedia Bersama Komuniti Negeri Terengganu.

Beliau berkata draf rang undang-undang itu akan diedarkan kepada semua ahli jawatankuasa teknikal yang mewakili semua parti sebaik sahaja ia siap.

“Secara dalaman, draf ini boleh dikongsi lebih awal… kita kena telus kerana akhirnya mereka semua akan mengundi,” katanya.

Annuar juga berkata tiada sebarang pertelagahan berlaku dalam Mesyuarat Kabinet mengenai rang undang-undang itu namun hanya timbul beberapa perbezaan pendapat dan menyifatkannya sebagai perkara biasa.

BERITA BERKAIT
POPULAR