Perjalanan umrah akan ditangguh selama sebulan: Khairy

Kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan, ia bagi mengambil langkah awal mencegah penularan varian Covid-19 yang dikenali sebagai Omicron.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkata keputusan itu diambil bertujuan memberi laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap beberapa perkara, khususnya membabitkan prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, perbincangan sepanjang tempoh penangguhan ibadat itu akan turut membabitkan kerjasama Arab Saudi dan Konsulat Malaysia di negara terbabit, sebelum perjalanan umrah kembali dibenarkan.

“Beri peluang untuk kita perketatkan lagi SOP jemaah dari Malaysia, menerusi perbincangan dengan Arab Saudi, agensi pelancongan, kementerian berkaitan dan konsulat di sana.

“Kita akan buka semula (perjalanan umrah) dengan lebih selamat, tetapi bukan sekarang kerana terlalu banyak kes jangkitan COVID-19 terutama varian Omicron,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan menangguhkan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Januari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR