
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menaiki helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk meninjau beberapa kawasan di Baling, Kedah, hari ini (1 September 2022). - Gambar FB MB Kedah
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memuji pencapaian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan negeri kerana berjaya menarik pelaburan dalam projek berskala mega bernilai RM14.4 bilion ke negeri itu.
Beliau turut berterima kasih atas keputusan Kumpulan MMC yang bersetuju melabur untuk projek mega berkenaan yang terletak di Wilayah Ekonomi Koridor 2.
“Saya gembira dengan keputusan Kumpulan MMC mahu melabur di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor 2 ini, sekali gus mengubah landskap sosio ekonomi penduduknya.
“Saya yakin pelaburan ini mampu melonjakkan nama Yan dan negeri Kedah khususnya, sebagai hab industri petroleum terutama yang berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau ini,” katanya merasmikan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, di Yan.
Memetik laporan media hari ini (1 September) Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, mereka telah membuat kajian mengenai perkara itu dan mendapati Sanglang amat sesuai untuk dibangunkan pelabuhan terbabit.
“Salah satu kekuatan Kumpulan MMC adalah bidang pelabuhan yang mana MMC Ports amat dikenali di persada antarabangsa dan merupakan kumpulan yang kelapan terbesar di dunia.
“Kami yakin pelabuhan ini mempunyai potensi yang tinggi dalam meningkatkan hubungan logistik antarabangsa. Perkara ini turut termasuk dalam komitmen pelaburan kami di Kedah,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menafikan Kedah diabaikan oleh Kerajaan Pusat di bawah pentadbirannya dengan menggambarkan Projek Strategik NCER – Rubber City bernilai RM10 bilion di Padang Terap dan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, Yan sebagai contoh usaha membangunkan negeri Kedah.
Katanya, pelancaran dua projek pelaburan mega itu yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM24.4 bilion, menunjukkan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat.
“Sememangnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara supaya tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara,” katanya yang turut memuji usahasama kerajaan-swasta terutama Kumpulan MMC yang dilihat menjadi perintis bagi melabur di daerah Yan.
Katanya, Kumpulan MMC telah bertindak berani menjadi perintis membuka laluan ke daerah ini termasuk menyediakan kemudahan yang akan menarik pelabur-pelabur lain untuk turut melabur di kawasan berkenaan.
“Ini adalah bukti kerjasama baik antara kerajaan dan swasta dalam merangsang dan memajukan ekonomi negara yang mana hasilnya dapat dinikmati seluruh Keluarga Malaysia” katanya.
Dalam lawatan ke Baling pula, Perdana Menteri meminta Kerajaan Kedah mengambil tindakan sewajarnya berhubung kolam takungan air projek durian “musang king” di Gunung Inas bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.
Ismail Sabri beliau difahamkan terdapat tiga kolam takungan besar yang membimbangkan penduduk daerah ini sekiranya pecah seterusnya boleh mengakibatkan bencana.
“Kita faham penduduk bimbang kalau kolam pecah akan bawa bencana, sebelum ini tiada lagi kolam pecah.
Saya akan minta kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya, macam mana (cara) kita serah kepada kerajaan negeri dan demi keselamatan penduduk kita akan bincang supaya ambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Doa Selamat Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia di Baling.
Perdana Menteri turut meluangkan masa meninjau lokasi banjir puing di Kampung Iboi, Mukim Kupang.
Sebaik tiba pada 12.30 tengah hari, Perdana Menteri meninjau jambatan Bailey yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia sepanjang 27.43 meter selepas titi yang menghubungkan Kampung Iboi dengan Kampung Masjid Iboi runtuh dalam tragedi itu.
Ismail Sabri kemudian mendengar taklimat Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah mengenai insiden banjir puing yang berlaku pada 4 Julai lepas.
Beliau juga sempat beramah mesra dengan penduduk kampung daripada pelbagai lapisan umur yang nyata teruja apabila Perdana Menteri sanggup meluangkan masa bersembang dan berswafoto bersama mereka.
Banjir puing yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam pada 4 Julai itu menjejaskan Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang di sini.
Insiden itu menyebabkan 15 keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah selain turut mengorbankan tiga sekeluarga.